Cara Solat Raya Aidilfitri Di Rumah (Berjemaah, Semasa PKP)

Musim PKP akibat Coronavirus Covid-19 ini, kita semua tidak dibenarkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid macam selalu. Jadi, macam mana cara solat raya Aidilfitri di rumah dengan keluarga secara berjemaah?

Izinkan kami berkongsi panduan ringkas yang kami rujuk serba-sedikit dari JAKIM. Kami cuba ringkaskan seperti panduan dan cara solat Terawih di rumah sebelum ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Perdana Menteri pada 10 Mei 2020 telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.

Ini bermakna, semua peraturan dan Standard Operational Procedure (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB sebelum ini akan kekal berkuat kuasa menjelang Syawal 1441H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menyarankan agar umat Islam supaya menyambut Hari Raya Aidilfiri pada tahun ini secara sederhana pada hari raya pertama di rumah masing-masing sahaja dengan menangguhkan sambutan berbentuk tradisi.

Solat Hari Raya Aidilfitri pukul berapa?

Di luar musim PKP, kita tidak perlu risau. Kebiasaannya, imam akan mengumumkan perkara ini sehari sebelum hari raya.

Namun, semasa musim PKP, ramai yang bertanya, solat raya pukul berapa?

Waktu bagi solat sunat Hari Raya Aidil Fitri ialah selepas terbit matahari.

Untuk lebih mudah faham, ia lebih kurang jam 8.00 pagi waktu Malaysia.

Sedang-sedang elok, boleh dimulakan dalam lingkungan antara jam 8.00 pagi dan 8.30 pagi.

 

Cara solat Hari Raya Aidilfitri

Ringkasan cara solat Hari Raya Aidilfitri yang ringkas simple adalah seperti berikut:

  1. Niat solat sunat Hari Raya Aidilfitri dua (2) rakaat
  2. Angkat Takbiratul Ihram
  3. Baca doa Iftitah
  4. Untuk rakaat pertama, takbir dan tasbih tujuh (7) kali
  5. Selepas bacaan tasbih ketujuh, baca surah Al-Fatihah
  6. Baca surah
  7. Teruskan dengan rukun seterusnya seperti solat biasa
  8. Bangun untuk rakaat kedua
  9. Untuk rakaat kedua, takbir dan tasbih lima (5) kali
  10. Selepas bacaan tasbih kelima, baca surah Al-Fatihah
  11. Baca surah
  12. Teruskan dengan rukun seterusnya seperti solat biasa
  13. Beri salam

Untuk butiran lanjut mengenai niat, takbir semasa solat Hari Raya dan takbir Hari Raya Aidilfitri, sila rujuk di bawah.

 

Niat sembahyang Hari Raya

Berikut ialah niat solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

1) Untuk Imam

Jika anda menjadi Imam, baca “Imaman“.

Bacaan dalam Rumi adalah seperti berikut:

“Usolli Sunnatan ‘Idil Fitri Rak’ataini Imaman Lillahi Ta’ala”

Maksud niat solat raya ini yang perlu dibaca dalam hati ialah “Sahaja aku solat sunat Aidilfitir, dua (2) rakaat, menjadi Imam, kerana Allah Ta’ala”

2) Untuk Makmum

Jika anda menjadi Makmum, baca “Makmuman“.

Bacaan dalam Rumi adalah seperti berikut:

“Usolli Sunnatan ‘Idil Fitri Rak’ataini Makmuman Lillahi Ta’ala”

Maksud niat solat raya ini yang perlu dibaca dalam hati ialah “Sahaja aku solat sunat Aidilfitiri, dua (2) rakaat, menjadi Makmum, kerana Allah Ta’ala”

 

Takbir & Tasbih Solat Hari Raya Aidilfitri

Sebelum itu, jangan tersilap apa itu takbir dan tasbih.

Takbir = Mengangkat tangan sambil melafazkan Allahu Akbar

Tasbih = Bacaan seperti di bawah, selepas takbir

Berikut ialah bacaan tasbih ketika solat Hari Raya Aidilfitri.

  • Semasa Rakaat Pertama, baca tujuh (7) kali
  • Semasa Rakaat Pertama, baca lima (5) kali

Bacaan dalam Rumi adalah seperti berikut:

Subhanallahi Walhamdulillahi Wa La Ila Ha Illallahu Wallahu Akbar

Wa La Haw La Wa La Quwwata Illa Billahil ‘Aliyyil ‘Azim

 

Maksud bacaan ini adalah seperti berikut:

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung

 

Takbir Raya

Berikut ialah bacaan takbir Hari Raya Aidilfitri.

Perlu diingatkan, ini ialah bacaan takbir yang dibaca sebelum dan selepas solat Hari Raya Aidilfitri. BUKAN semasa solat raya.

Bertakbir ini disunatkan bermula daripada tenggelam matahari iaitu waktu Maghrib pada malam hari raya. Ia boleh diteruskan sehingga imam bertakbiratul ihram untuk solat sunat hari raya.

Memandangkan sekarang ialah musim PKP, adalah digalakkan untuk setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing.

 

Khutbah Raya

Bagi solat hari raya yang dilaksanakan secara berjemaah, ia akan diikuti dengan bacaan khutbah. Ia tidak sama dengan solat Jumaat.

Solat Jumaat = Khutbah sebelum solat

Solat Hari Raya = Khutbah selepas solat

Berikut adalah cara menyampaikan khutbah hari raya:

  • Setelah selesai solat hari raya, imam terus berdiri, menghadap ke arah makmum dan menyampaikan dua khutbah.
  • Khutbah hari raya dimulakan dengan lafaz takbir
  • Takbir dilafazkan sebanyak sembilan (9) kali berturut-turut pada khutbah pertama
  • Seterusnya, takbir dilafazkan sebanyak tujuh (7) kali berturut-turut pada khutbah kedua
  • Khutbah di rumah, tidak perlu kepada mimbar dan tongkat.
  • Antara khutbah pertama dan khutbah kedua, cukup sekadar duduk sebentar di kerusi
  • Anda disarankan untuk mendapatkan teks khutbah dengan muat turun dari JAKIM
  • Anda juga boleh download dari Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing
  • Untuk negeri Selangor, boleh muat turun dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Adab solat sunat Hari Raya Aidilfitri

  • Mandi sunat
  • Menjamah sedikit makanan terutama tamar sebelum sunat hari raya.
  • Di luar musim PKP, lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid sekiranya tidak terlalu jauh.
  • Jika dibenarkan ke masjid pada tahun hadapan, pergi ke masjid menggunakan jalan yang berbeza dengan jalan pulang, agar dapat bertemu dan bermaafan dengan ramai kenalan.
  • Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
  • Bersedekah dan bertahlil secara berjemaah selepas solat sunat Hari Raya Aidil Fitri.
  • Membanyakkan membaca takbir, tasbih, tahmid memuji kebesaran Allah
  • Apabila selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri maka digalakkan bermaaf-maafan.
  • Walau bagaimanapun, semasa musim PKP ini, tidak perlu bersalam-salaman dan berciuman

 

Akhir kalam

Menurut JAKIM, Secara umumnya Solat Hari Raya Aidilfitri adalah sama dari segi rukun dan syarat solat fardu, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

Sekiranya seseorang terlupa atau mengerjakan solat hari raya tanpa takbir yang disunatkan, solatnya adalah sah.


Leave a Comment