Cara Niat Puasa Sebulan Penuh Ramadhan & Harian

Ramadan datang lagi. Kini, ramai ibu-bapa tercari-cari lafaz dan cara niat puasa sebulan dan harian untuk anak-anak.

Untuk makluman, niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat puasa, maka tidak sah puasa seseorang itu.

Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah. Dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat

Niat puasa Ramadan

Cara niat puasa harian di bulan Ramadhan

Berikut ialah lafaz niat puasa esok hari.

Selalunya, ia dibaca pada hari ini, samada selepas berbuka atau selepas solat Terawih, iaitu satu hari sebelum hari esok.

Lafaz bacaan niat puasa harian dalam Rumi adalah seperti berikut:

Nawaitu Sauma Gho Din, ‘An Ada-i, Fardisy-Syahri, Romadona, Hazihissanati, Lillahi Ta’ala

Maksud lafaz niat puasa harian tadi ialah:

Sahaja aku berpuasa esok hari dalam bulan Ramadhan tahun ini, kerana Allah Ta’ala

 

 

Cara niat puasa sebulan Ramadhan

Berikut pula ialah lafaz niat puasa sebulan.

Selalunya, ia dibaca sekali sahaja pada hari pertama puasa.

Lafaz bacaan niat puasa sebulan dalam Rumi adalah seperti berikut:

Nawaitu Sauma Syahri, Romadona, Kullihi, Lillahi Ta’ala

Maksud lafaz niat puasa sebulan ialah:

Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan, kerana Allah Ta’ala

 

Kenapa mahu niat puasa sebulan?

Ramai orang melahirkan rasa bimbang jika terlupa niat puasa pada esok hari.

Kadang-kadang, tertidur awal dan tidak sempat berniat.

Ada kalanya, terlewat bangun sahur dan tak sempat berniat langsung.

Jadi, niat terus sebulan penuh adalah satu langkah berjaga-jaga.

 

Perlukah baca niat puasa Ramadhan setiap hari?

Mengikut sumber dari Mufti Wilayah, pendapat para ulama’ terbahagi kepada dua:

  1. Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa
    Maka cukuplah atau berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.
  2. Perlu memperbaharui niat pada setiap malam
    Ia tidak terikat antara satu sama lain dengan hari lain-lainnya. Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak.

Namun, Mufti Wilayah lebih cenderung kepada pendapat jumhur iaitu perlu memperbaharui niat pada setiap malam.

Tambahan lagi, ia juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa Ramadhan.

Walaupun ada pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka pihak Mufti Wilayah katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

 

Akhir kalam

Semoga dengan perkongsian lafaz dan cara niat puasa sebulan ini dapat membantu anda.

Banyak-banyakkanlah ibadah malam seperti solat tahajjud dan solat hajat.

Semoga bermanfaat.


Leave a Comment