Dengan berlalunya bulan mulia Ramadan al-Mubarak, tidak bermakna amalan ibadah kita juga berakhir, tetapi kesinambungannya adalah berterusan pada bulan Syawal pula. Izinkan kami kongsi niat puasa enam (atau puasa 6) yang sunat ini.
Klik sini jika ingin dapatkan niat puasa sebulan penuh bulan Ramadan.
Amalan Puasa Sunat Syawal
Selain meneruskan ibadah seperti mengaji, al-Quran, bertadarus, berqiyamulail serta beriktiqaf semasa di bulan puasa, segala amalam tersebut boleh diteruskan ketika di bulan Syawal, termasuklah dengan puasa sunat enam Syawal atau dikenali sebagai ‘puasa enam’ yang ditunaikan selama enam hari pada bulan Syawal.
Apakah Hukum Menunaikan Puasa Enam?
Hukum melaksankan puasa enam ini adalah sunat yang sangat dianjurkan, dan ianya bukanlah wajib.
Jumhur fuqaha daripada mazhab al-Syafie, al-Hanbali dan sebahagian fuqaha al-Hanafi dan al-Maliki bersepakat mengatakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah mustahab (sunat).
#1 Niat Puasa Enam (Puasa 6)
نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى
“Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”
Bagaimana Caranya untuk Menunaikan Puasa Sunat Enam?
Dalam melaksanakan puasa enam, boleh berpuasa secara berturutan tanpa selang seperti puasa bulan Ramadan. Tetapi jika berpuasa secara berselang hari juga dibolehkan asalkan masih berada dalam bulan Syawal itu.
Secara telitinya;
- Paling afdal adalah secara berturut-turut: Sebaiknya bermula 2 Syawal sehingga 7 Syawal. Contohnya, jika Hari Raya Aidilfitri pada 8 Oktober, maka bolehlah berpuasa enam mulai 9 Oktober sehingga 14 Oktober (7 Syawal).
- Berpuasa secara berselang-seli: Berpuasa sama ada selang sehari, selang dua atau tiga hari sekali, selama enam hari dalam bulan Syawal.
Namun, jika berpuasa secara berselang hari:
- a) Selang Sehari : Sekiranya puasa enam dimulakan pada hari Isnin, ianya akan berakhir pada hari Khamis seminggu kemudian. Contohnya jika mula berpuasa pada 9 Oktober, dan ianya akan berakhir pada 19 Oktober.
- b) Selang Dua hari: Sekiranya bermula puasa enam pada 9 Oktober, selang dua hari berikutnya adalah pada 12, 15, 18, 21 dan berakhir pada 24 Oktober.
- c) Selang Tiga hari: Jika berpuasa pada 9 Oktober, selang tiga hari berikutnya adalah pada 13, 17, 21, 25 dan akan berakhir pada 29 Oktober.
- Berpuasa sebanyak enam hari pada awal, tengah dan akhir bulan Syawal: Jika mula berpuasa pada 2 Syawal (9 Oktober), diikuti 13,14 dan 15 Syawal dan berakhir pada 29 dan 30 Syawal.
- Berpuasa selama enam hari pada mana-mana hari pun dalam bulan Syawal.
#2 Niat Puasa Ganti dan Puasa 6 Serentak
“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha’ Ramadan serta enam Syawal kerana Allah Ta’ala”
Secara ringkasnya, menyatukan puasa ganti serentak dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.
Untuk maklumat terperinci, sila rujuk di bawah dan juga laman Mufti Wilayah Persekutuan.
Menunaikan Puasa Enam, Atau Menganti Puasa Yang Tertinggal Terlebih Dahulu?
Jadi, adakah dibolehkan seseorang itu menunaikan puasa sunat enam Syawal, sedangkan dia belum pun mengganti puasanya yang terdahulu?
Dalam permasalahan ini, terdapat banyak khilaf dan pendapat para alim ulama.
Lalu lahirlah dua pendapat ini;
Pendapat #1:
Boleh berpuasa enam tanpa menggantikan puasa terlebih dahulu.Ini berdasarkan dalil bahawa Aisyah r.a pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu digantikannyha sehingga ke bulan Syaaban.
Berkata Aisyah ra, yang bermaksud:
“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramahan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sangat tidak mungkin seorang isteri Rasulullah (Aisyah) tidak menunaikan puasa enam di di bulan Syawal. Bahkan tindakan mengganti puasa Ramadan pada bulan Syaaban adalah bagi menunjukkan bahawa dibenarkan seseorang yang memiliki hutang puasa bulan Ramadan untuk berpuasa sunat enam Syawal.
Pendapat #2:
Tidak boleh berpuasa enam sekiranya belum menganti puasa terdahulu.
Berdasarkan sebuah hadis, iaitu;
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad)
Para alim ulama yakin bahawa melalui hadis ini, Rasulullah SAW mensyaratkan agar ‘berpuasa Ramadan’ terlebih dahulu, kemudian ‘mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawal’.
Ini bermakna puasa sunat enam Syawal dilaksanakan selepas seseorang itu selesai menunaikan ibadah puasa Ramadannya.
Lalu, jika ada puasa Ramadan yang tertinggal, maka gantilah terlebih dahulu sebelum berpuasa sunat enam hari. Bahkan menyegerakan ganti puasa itu adalah amalan yang terpuji.
Bagaimana Jika Menggabungkan Puasa Ganti Dengan Puasa Enam Syawal Serentak?
Jadi, bolehkah digabungkan antara kedua-dua puasa ini, dengan niat puasa ganti dengan puasa 6 serentak? Dan jika digabungkan adakah mendapat pahala atau ganjaran yang lebih besar?
Sebenarnya, hal ini juga menimbulkan perbezaan pandangan dalam kalangan ulama.
Pendapat #1:
Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh dicampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Hukum puasa itu adalah tidak sah, sama ada bagi puasa yang fardhu ataupun puasa yang sunat.
Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, yang menyatakan bahawa berpuasa sunat di bulan syawal akan emndapat ganjaran pahal seumpama berpuasa sepanjang tahun. Dan demi memenuhi mkasud hadis ini dan dalam mencpaai pahala yang dijanjikan Allah, hendaklah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat).
Pendapat #2:
Sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa ganti Ramadan sebagaimana Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, Kitab Puasa, jilid 2, m/s: 52 (Dar Kutub al-Ilmiyah); menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa ganti dengan katanya yang bermaksud:
“Contohnya sesiapa yang berniat puasa ganti pada hari isnin dan dalam masa yang sama berniat puasa sunat hari isnin, maka itu dibolehkan serta mendapat ganjaran kedua-duanya. Sebaliknya jika diniatkan puasa sunat sahaja maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”
Jadi, hukum menyatukan puasa ganti dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal atau hari-hari lain yang disunatkan berpuasa adalah harus dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa sepenuhnya di bulan Ramadan.
Tetapi yang lebih afdhal adalah diasingkan antara puasa ganti dengan puasa enam Syawal kerana puasa ganti itu hukumnya wajib dan puasa enam Syawal itu adalah sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan (Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar).
Apa Pula Keistimewaan dan Kelebihan Menunaikan Puasa Enam Ini?
Puasa sunat ini bukan sekadar dengan niat puasa 6 dan niat puasa ganti semata-mata. Banyak kelebihan puasa sunat ini, antaranya:
- Ganjaran Pahala seperti Berpuasa Setahun
Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa puasa enam hari pada bulan Syawal, pahalanya sama seperti puasa penuh setahun dengan syarat, telah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.
- Mencantikkan Puasa di Bulan Ramadan
Puasa enam hari di bulan Syawal juga emnjadi pelngkap serta kekurangan dan kecacatan semasa di bulan Ramadan yang lalu. Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri supaya dapat mencantikkan lagi puasa Ramadannya yang lepas.
- Mendidik Diri agar Bersederhana Menyambut Aidilfitri
Aidil Fitri tidak perlulah diraikan sehingga sebulan penuh dalam bulan Syawal itu. Sebaiknya, sudah mula berpuasa pada 2 Syawal, bagi menujukkan bahawa kita tidak terlalu berlebihan dalam berhari raya dan sangat mengutamakan ganjaran dalam bulan Syawal itu.
- Sentiasa Ingat Ibadah Puasa Yang Lain
Dengan menunaikan puasa sunat enam Syawal dapat membantu mengingatkan umat Islam untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan sahaja, tetapi berpuasa di bulan Syawal juga terdapat ganjaran yang besar dan istimewa.
Akhir kalam
Jadi, fadilat puasa enam ini adalah sangat besar sekali. Jadi sangat wajar untuk kita hayati dan rebut keistimewaan yang tidak selalunya kunjung ini, lalu merasi kelebihanyanya;
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Ali Imran:133)
Diharapkan agar perkongsian niat puasa enam dan niat puasa ganti ini dapat memudahkan lagi urusan anda. Niat itu sudah baik. In Shaa Allah, Allah akan permudahkan.
Semoga bermanfaat.