Doa solat hajat merupakan satu amalan sunat yang dilakukan oleh umat Islam untuk memohon sesuatu hajat daripada Allah. Ia merupakan satu bentuk ibadah di mana seseorang itu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan sesuatu kebaikan atau untuk menghindari sesuatu keburukan. Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama, dan cahaya langit serta bumi. Ini menunjukkan betapa pentingnya berdoa dalam kehidupan seharian kita.
Doa selepas solat hajat merupakan munajat seorang hamba kepada Penciptanya untuk memohon sesuatu hajat atau hasrat. Ia boleh dibaca untuk pelbagai tujuan dan golongan, antaranya untuk kejayaan dalam peperiksaan atau pelajaran, kesejahteraan dan keberkatan untuk anak-anak, kesembuhan bagi mereka yang ditimpa penyakit, dipermudahkan urusan jodoh, keberkatan untuk diri sendiri, serta kerahmatan untuk orang yang telah kembali ke rahmatullah. Apabila berdoa, perlulah dilakukan dengan penuh khusyuk, yakin dan ikhlas bahawa Allah pasti memakbulkan setiap pintanya sekiranya ia membawa kebaikan. Ucapkanlah apa sahaja hajat kita di hadapan Allah tanpa rasa ragu kerana Dia Maha Mendengar setiap rintihan hambaNya.
Doa Solat Hajat
Doa Solat Hajat dalam Bahasa Arab
Dalam solat hajat, doa tersebut boleh dibacakan semasa dalam sujud terakhir atau selepas selesai solat. Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي
Transliterasi dalam Rumi
Laa ilaaha illallaahu al-haleemu al-kareemu subhaanallaahi rabbil-‘arshil-‘azeemi alhamdu lillaahi rabbil-‘aalameena allaahumma innee as’aluka moojiibaati rahmatika wa ‘azaa’ima maghfiratika wal-ghaneemata min kulli birrin was-salaamata min kulli ithmin as’aluka alla ta’d’a lee dhanban illa ghafartahu wa laa hamman illa farrajtahu wa laa haajatan hiya laka ridan illa qadhaytaha lee
Maksud Doa Solat Hajat
“Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dan menunjukkan betapa pentingnya doa dalam solat hajat.
Apa Contoh Lain Doa Selepas Sembahyang Hajat Dalam Bahasa Melayu?
Untuk berdoa dengan lebih rasa rendah diri dan memahami maksudnya, ikuti contoh doa hajat ini:
Segala kepujian itu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Pujian yang menyempurnakan nikmat-nikmat-Nya dan membalas limpah kurnia-Nya. Wahai Tuhan kami, untuk-Mu segala jenis kepujian sebagaimana sayugianya sesuai dengan kebesaran zat dan kerajaan-Mu yang Maha Besar. Maha suci Engkau Ya Allah, tiada terhingga kami memuji-muji-Mu sebagaimana Dikau memuji-muji zat-Mu. Maka bagi-Mu kepercayaan hingga Engkau redha dan bagimu kepujian apabila Engkau telah redha dan bagi-Mu kepujian kekal sentiasa.
Ya Allah, wahai Tuhan kami. Cucurilah rahmat atas Nabi Muhammad s.a.w, hamba-Mu dan utusan-Mu Nabi yang tiada mengerti menulis dan membaca, dan atas keluarga Muhammad, isteri-isterinya dan zuriat ketuturannya sebagaimana yang engkau telah kurniakan rahmat atas Nabi Ibrahim dan keluarganya Ibrahim.
Kurniakan keberkatan atas Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, Nabi yang tiada mengerti menulis dan membaca, dan atas keluarga Muhammad, isteri-isteri Muhammad dan zuriat keturunan Muhammad sebagaimana Engkau telah kurniakan keberkatan atas Nabi Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim pada seluruh alam. Bahawa sesungguhnya Engkau amat terpuji lagi Maha Mulia.
Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benar-Nya melainkan Allah yang bersifat lemah lembut dan Maha Murah. Maha Suci Allah pemerintah kerajaan Yang Maha Besar. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam.
Ya Allah, wahai TUhan kami. Kami mohon kepada-Mu akan segala sebab yang boleh mendorong mendapatkan rahmat-Mu dan segala kepastian keampunan-Mu, terselamat daripada dosa, beruntung mendapat pahala, berjaya mendapat syurga dan tersisih daripada neraka.
Tiada tinggal kepada kami walau satu dosa melainkan Dikau ampunkan. Tiada tertimpa walau satu kesusahan melainkan Dikau lepaskan. Tiada dihinggapi oleh sestu hutang melainkan Dikau jelaskan. Tiada timbut sesuatu hajat mengenai dunia dan akhirat melainkan Dikau tunaikan hajat itu, Ya Allah, Tuhan sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.
Ya Allah, wahai Tuhan kami. Bahawa sesungguhnya kami memohon dan berharap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat. Wahai junjungan kami, wahai Muhammad, segala rahmat dan sejahtera atas-Mu kami berharap denganmu kepada Tuhan kami semoga berhasil hajat kami (jika hajat orang lain, sebutkan nama dan bin orang yang berkenaan).
Ya Allah, syafaatkan Nabi-Mu Muhammad s.a.w dalam perkara yang tersebut. Ampunkan dosa besar dan dosa kecil kami. Dikau Tuhan segala yang baik-baik, Tuhan yang Maha Gagah. Tuhan yang Maha Mengetahui, Maha Perkasa lagi Maha Kurnia, Lembah Lembut lagi Maha Bijaksana.
Rahmat sejahtera, mudah-mudahan dicucuri ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya dan sahabat-sahabat baginda.
Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.
Bagaimana Cara Mendirikan Solat Hajat?
Solat hajat boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah, dan tidak ditentukan jumlah rakaat sebenar. Walaupun begitu, biasanya ia dilakukan antara dua hingga dua belas rakaat. Menurut panduan yang dikongsi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berikut adalah cara melaksanakan solat hajat dua rakaat:
Niat Solat Hajat
Dalam Bahasa Arab:
أُصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعاَلَى
Transliterasi dalam Rumi:
U-shol-lii sun-na-tal haa-ja-ti rok-’a-tai-ni lil-laa-hi ta-’aa-laa
Maksud:
“Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.”
Langkah-Langkah Solat Hajat
- Bacakan Surah Al-Fatihah diikuti dengan Ayat Kursi. Anda digalakkan membaca Ayatul Kursi atau Surah Al-Kafirun atau kedua-duanya sekali. Namun, anda juga boleh membaca mana-mana surah atau ayat di dalam Al-Quran.
- Rukuk dan Sujud seperti biasa.
- Baca Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua.
- Tahiyat Akhir dan beri salam.
Apa Amalan Selepas Solat Hajat?
Selepas solat, anda boleh melakukan amalan tambahan seperti berikut:
Membaca Tasbih
Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala hawla wala quwwata illa billah
Selawat Ke Atas Nabi SAW
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اٰلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Membaca Doa
Rabbana atina fid-dunya hasanatan wa fil akhirati hasanatan waqina azaban-naar
Bila Waktu Terbaik untuk Mengerjakan Solat Hajat?
Solat sunat hajat boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada pada siang atau malam, kecuali pada waktu yang diharamkan solat. Namun, waktu yang paling baik untuk mengerjakan solat hajat adalah pada tengah malam, sekitar pukul satu, dua, atau tiga pagi. Waktu ini adalah masa yang tenang dan penuh pengharapan kepada Allah SWT.
Apakah Tujuan Solat Hajat?
Hajat dari segi bahasa merujuk kepada keperluan atau memohon sesuatu. Solat hajat dikerjakan apabila kita memohon sesuatu hajat daripada Allah. Sama ada memohon kebaikan atau menolak sesuatu keburukan. Solat ini adalah salah satu cara untuk kita mengajukan doa, hajat, dan permohonan kepada Allah. Diharapkan dengan solat yang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, Allah SWT akan memperkenankan doa yang kita hajati.
Sumber: Buku Wirid dan Doa oleh Haji Jamaluddin Hashim yang diterbitkan oleh Lembaga Penerbitan Jabatan Agama Johor