Doa anak soleh merujuk kepada doa-doa yang dibacakan oleh ibu bapa dengan harapan agar anak-anak mereka membesar menjadi individu yang baik, beriman, dan berakhlak mulia. Doa ini adalah satu bentuk permohonan kepada Allah SWT agar anak-anak diberi hidayah, kebijaksanaan, dan kekuatan untuk terus berada di jalan yang diredhai-Nya. Doa ini bukan sahaja menjadi amalan dalam kehidupan seharian tetapi juga satu tanggungjawab bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Doa Anak Soleh dan Solehah
Mengapa Doa Ibu Bapa Untuk Anak Mustajab?
Doa ibu bapa untuk anak-anak dianggap mustajab kerana hubungan yang istimewa antara ibu bapa dan anak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, Nabi SAW bersabda: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir, dan doa ibu bapa kepada anaknya.” Hadis ini menunjukkan betapa kuatnya doa ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Hubungan ini diibaratkan sebagai doa yang tidak ada hijabnya, membolehkan doa tersebut diterima oleh Allah SWT dengan mudah.
Bagaimana Doa Dapat Membentuk Anak Soleh?
Doa dapat membentuk anak soleh dengan membantu mereka mendapat hidayah dan perlindungan daripada Allah SWT. Ibu bapa yang sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan anak-anak mereka secara tidak langsung menanamkan nilai-nilai murni dalam diri anak. Selain itu, doa juga membentuk persekitaran yang positif dan mendidik anak untuk mengutamakan amalan agama dalam kehidupan harian mereka.
Apakah Dalil Berkenaan Ibu Bapa Berdoa Untuk Anak?
Dalil tentang ibu bapa berdoa untuk anak dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir, dan doa ibu bapa kepada anaknya.” Hadis ini menegaskan bahawa doa ibu bapa adalah satu bentuk doa yang mustajab dan amat penting dalam pembentukan akhlak dan peribadi anak.
Apakah Doa-Doa Yang Boleh Diamalkan Untuk Anak?
Berikut adalah beberapa doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka:
Doa Lembut Hati Anak
اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاء وَهُوَ الْقَوِيُّ العَزِيزُ
Maksud: Allah Maha Lembut tadbir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) kepada hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Doa Anak Jadi Soleh Dan Bijak
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Maksud: Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).
Doa Untuk Kesejahteraan Anak
اللهم احفظ اولاد وا شفهم انت شاف لا شفاء الا شفاءك لا يغادر سقما.
Maksud: Ya Allah! Peliharalah anak-anakku dan sihatkanlah mereka, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan-Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.
Doa Anak Dengar Kata Ibu Bapa
رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا
Maksud: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Doa Anak Degil Supaya Lembut Hati
طه (1) مَآ أَنزَلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡقُرۡءَانَ لِتَشۡقَىٰٓ (2) إِلَّا تَذۡڪِرَةً۬ لِّمَن يَخۡشَىٰ (3)
Maksud: Taa Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah.
Apakah Cara Berdoa Yang Betul Untuk Anak?
Cara berdoa yang betul untuk anak merangkumi beberapa adab dan kaedah, antaranya menghadap kiblat ketika berdoa sebagai tanda pengabdian kepada Allah SWT, mengangkat tangan sebagai pengharapan dan permohonan sepenuh hati kepada Allah, berdoa dengan penuh keyakinan dan harapan bahawa Allah akan memakbulkan doa kita, yakin bahawa doa kita akan diterima dan dikabulkan oleh Allah, mengulang doa secara konsisten untuk menunjukkan kesungguhan, serta berdoa dengan tenang tanpa tergesa-gesa agar dapat fokus dan ikhlas dalam permohonan.
Bagaimana Mendidik Anak Agar Menjadi Anak Soleh Dan Solehah?
Untuk melahirkan anak yang soleh dan solehah, ibu bapa perlu mengajarkan anak mengenali Allah SWT dengan baik sebagai asas penting dalam pendidikan agama, memastikan anak sentiasa menunaikan kewajipan ibadah seperti solat, membekalkan ilmu agama yang mencukupi agar mereka dapat memahami dan mengamalkan ajaran Islam dengan betul
Ibu bapa juga perlu mencipta suasana keislaman di rumah dengan amalan seperti bacaan Al-Quran dan memberi salam, sering mengajak anak ke tempat ibadah seperti masjid untuk membiasakan mereka dengan suasana ibadah, menanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam dalam jiwa anak-anak dan menggalakkan minat terhadap ilmu.
Pantau rakan sebaya dan pergaulan anak, sentiasa berdoa kepada Allah memohon anak yang soleh, serta kerap memberi nasihat dan pesanan yang baik dalam membentuk akhlak positif. Dengan mengamalkan doa dan kaedah mendidik ini secara konsisten, ibu bapa dapat membantu melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, insya-Allah.