Kes aktif akibat Coronavirus Covid-19 semakin menjadi-jadi. Benar, semua itu adalah urusan Allah. Walau bagaimanapun, tidak salah untuk kita berdoa supaya terhindar dari segala musibah ini. Izinkan kami berkongsi doa dijauhi wabak yang dikongsikan semula dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
1. Doa dijauhi wabak (Bahasa Arab)
2. Maksud doa dijauhi wabak & bala (Bahasa Melayu)
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, pujian yang sebanding dan sentiasa bertambah-tambah dengan pemberian nikmat- nikmat oleh-Nya.
Wahai Tuhan kami hanya bagi-Mu segala puji, sebagaimana pujian itu patut terhadap kemuliaan-Mu serta keagungan Kerajaan-Mu.
Ya Allah, berikanlah solawat kepada Nabi Muhammad SAW, penawar dan pengubat hati (kalbu), kesihatan dan penyembuhan badan dan cahaya yang menerangkan pandangan mata. Juga ke atas keluarga dan sahabat baginda, serta salam yang sebanyak-banyaknya.
Dengan nama Allah yang bersama nama-Nya sesuatu itu tidak memudaratkan sama ada di bumi dan di langit.
Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Kami berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada kejahatan sesuatu yang Dia ciptakan.
Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya kami adalah dalam kalangan orang-orang yang zalim.
Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan-Mu dari susahnya bala, hinanya kesengsaraan, buruknya qadha, dan kegembiraan para musuh.
Ya Allah, kami memohon perlindungan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari bala, wabak dan kesusahan yang menimpa kami, tiadalah kesembuhan melainkan dari Engkau.
Kami berlindung dengan Allah, zat pemilik kemuliaan dan kekuasaan, kami mohon perlindungan dengan Tuhan kerajaan seluruh alam, dan kami bertawakal kepada zat yang Maha Hidup yang tidak pernah mati.
Ya Allah, jauhkanlah kami daripada wabak, peliharakanlah kami daripada kejahatan penyakit, kesukaran dan ujian-ujian yang zahir daripadanya dan yang tersembunyi, dari negara kami khasnya dan semua negara umat Islam amnya, dengan berkat sifat kelembutan-Mu wahai zat yang Maha Halus serta lemah lembut urusan tadbir-Nya.
Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan Maha memustajabkan doa.
Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.
3. Bacaan Qunut Nazilah
Bagi yang tinggal di Lembah Kelang (iaitu kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor), pasti akan perasan bahawa Qunut Nazilah dibacakan oleh imam dalam rakaat terakhir.
Ini juga adalah salah satu doa agar umat Islam secara khususnya, dan orang ramai keseluruhannya dijauhkan dari wabak, bencana, penyakit, peperangan dan sebagainya.
Akhir kalam
Walaupun doa ini bukanlah spesifik untuk Covid-19, setidak-tidak boleh kita gunakan untuk dijauhkan daripada wabak penyakit.
Seperkara lagi, selepas selesai sembahyang fardhu, jangan pula lupa baca doa selepas solat. Semoga apa sahaja permintaan dan hajat kita diterima dan dimakbulkan Allah.
Semoga bermanfaat.