Keperluan Umrah Wanita, Ini 40 Checklist Barang Kelengkapan

Sesiapa sahaja yang mendapat peluang untuk mengerjakan haji atau umrah, pastinya tidak sabar-sabar untuk menjadi tetamu Allah. Mana tidaknya, bukan semua orang berpeluang untuk mengerjakan tuntutan agama itu. Selain dapat melaksanakan ibadah di sana, para jemaah juga berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah. Oleh sebab itu, kami begitu teruja untuk berkongsi tentang keperluan  umrah wanita.

Jika anda seorang lelaki, sila baca tentang keperluan umrah lelaki.

Sedikit pesanan komuniti, bagi yang belum ada rezeki menunaikan haji tahun ini, boleh cuba dapatkan contoh surat rayuan haji.

Checklist kelengkapan, keperluan & persediaan pergi umrah

Artikel ini ditulis untuk memberi panduan kepada jemaah yang bakal mengerjakan umrah. Namun, boleh juga digunakan sebagai checklist haji wanita.

Penulisan ini adalah sebagai langkah awal persediaan umum untuk orang yang merancang untuk menunaikan kedua-dua ibadah ini kelak.

Barang persiapan umrah wanita. Beli atau bawa?

Antara soalan yang popular ialah, bawa dari Malaysia atau beli barang di sana?

Dikhabarkan bahawa harga sesetengah barangan di sana juga agak mahal. Oleh itu, perancangan yang rapi dapat menghindari masalah-masalah lain di sana nanti. Hendak beribadah pun hati menjadi tenang.

Namun, jika anda ada duit lebih dan rasa beg berat untuk bawa semuanya dari Malaysia, itu terpulang. Tiada paksaan.
Kami hanya akan menyenaraikan barangan yang perlu dibawa oleh jemaah wanita serta kelengkapan umum. Selain itu, maklumat tempat untuk mendapatkan barangan tersebut juga akan dikongsikan.

Keperluan umrah wanita yang penting

Ini ialah senarai barangan kelengkapan untuk jemaah wanita yang ingin pergi menunaikan ibadah umrah. 

Telekung (pakaian umrah wanita)

Berbeza dengan jemaah lelaki, pakaian umrah wanita itu ialah telekung.

Jemaah wanita perlu membawa 2 helai telekung yang mempunyai label Malaysia. Jika pergi umrah, tidak ada label pun tidak apa.

Bawalah telekung yang ringan tetapi tidak jarang. Tidak perlu hiasan berlebihan seperti manik dan sulaman.

Ingat, tujuan anda ke sana adalah untuk beribadah, bukan untuk menghias diri secara berlebihan.

 

Jubah umrah wanita (hitam atau putih)

Sudah menjadi kebiasaan orang Malaysia (dan Nusantara) memakai telekung untuk solat. Jadi, ini bermakna jemaah wanita perlu pakai jubah di dalam.

Jubah atau baju umrah wanita ini tidaklah perlu bawa banyak-banyak.

Cukuplah membawa 2 helai jubah yang berwarna hitam atau putih.

Jika hendak beli di sana juga boleh. Harga yang ditawarkan masih murah.

Jika dibawa dari sini, pastikan jubah itu tidak berat dan mempunyai hiasan berlebihan.

 

Tudung labuh hitam / putih

Jemaah wanita juga dikehendaki membawa 2 helai tudung labuh sama ada berwarna hitam atau putih. Pastikan tudung tersebut mempunyai penutup dagu. Bukan apa, boleh terus dibuat solat nanti.

 

Stoking

Perlu juga membawa 4 pasang stoking iaitu 2 pasang jenis mesra wuduk dan 2 pasang lagi stoking jenis biasa. Stoking jenis mesra wuduk ini sangat membantu untuk mengambil wuduk.

Namun, dinasihatkan berhati-hati kerana ketika bertawaf kain mudah tersingkap dan menampakkan kaki. Oleh itu, bolehlah memakai alas stoking biasa bersama untuk mengelakkan masalah ini.

 

Sarung lengan

Dinasihatkan juga membawa 2 pasang sarung lengan. Walaupun memakai jubah dan bertelekung, dikhuatiri lengan baju terselak atau ternaik ketika membuat tawaf. Jangan lupa, aurat wajib dijaga!

 

Anak tudung

Kini, terdapat pelbagai jenis anak tudung di pasaran. Bolehlah bawa 3 helai anak tudung untuk dipakai dengan tudung labuh atau telengkung nanti.

 

Kasut tawaf / sa’i

Jika hendak bawa, cukuplah sepasang sahaja. Jika sudah ada stoking, kasut ini boleh juga tidak dipakai.

 

T-Shirt

Untuk keselesaan ketika tidur, jemaah wanita bolehlah membawa 2 helai T-Shirt. Malahan, ketika hendak mendaki gunung juga boleh dipakai. Yang penting longgar, labuh dan tidak jarang.

 

Seluar

Boleh bawa 2 pasang seluar untuk dipakai ketika tidur. Malahan, boleh juga dipakai ketika tawaf untuk mengelak masalah melecet di celah kelengkang.

 

Kain batik

Cukup hanya bawa sehelai kain batik yang boleh dijadikan kain basahan semasa berada di dalam bilik.

 

Kasut dan selipar

Boleh bawa sepasang kasut bertutup atau selipar (pastikan pakai stoking sekali) untuk memudahkan berjalan.

 

Pakaian dalam

Pakaian dalam seperti baju dalam atau anak baju bolehlah dibawa ikut keperluan sahaja.

 

Barangan peribadi

Jangan lupa bawa tuala wanita, panty liner dan kapas muka untuk dipakai jika berlaku keputihan ketika tawaf. Lampin dewasa juga perlu dibawa bagi jemaah yang memerlukannya.

 

Barang keperluan umrah wanita yang umum

Keperluan umrah wanita ini bukanlah untuk perempuan sahaja. Ia adalah umum, iaitu untuk perempuan dan juga lelaki. Di bawah ini, kami senaraikan senarai semak yang umum.

Passport

Jangan lupa bawa pasport,  surat atau tiket penerbangan dan dokumen yang berkaitan. Jika dengan travel agency, biasanya mereka akan pegang tiket kapal terbang. Hanya jika anda pergi sendiri-sendiri secara DIY, perlu semak semula yang semuanya ada.

Pastikan semuanya telah lengkap sebelum pendaftaran. Diingatkan bahawa kad pengenalan anda tidak perlu dibawa kerana di sana segala urusan hanya menggunakan pasport.

 

Buku panduan umrah

Cukuplah bawa sebuah sahaja sebagai rujukan di sana nanti. Mana tahu nanti, kalau terlupa kan?

 

Buku doa

Untuk membantu anda membaca doa ketika bertawaf nanti. Jika ada orang kirim doa, bawa sekali kertas yang ditulis.

Jika anda ada doa sendiri, bawa dan letakkan sekali dalam buku panduan umrah agar tidak hilang.

 

Muat turun aplikasi dalam telefon bimbit

Untuk memudahkan anda di sana nanti, jangan lupa muat turun beberapa aplikasi melalui Google Play atau App Store, antaranya:

  1. Asefny – untuk memudahkan para jemaah mendapatkan rawatan perubatan
  2. Manasikana – menyediakan terjemahan bagi jemaah yang tidak tahu berbahasa Inggeris atau Arab.
  3. Quran – mudah hendak baca al-Quran di mana-mana tanpa perlu membawa
  4. Careem – untuk memudahkan anda menempah teksi untuk pergi miqat atau berjalan-jalan.

 

Ubat-ubatan

Bagi yang menghidap penyakit diabetis, darah tinggi, asma dan sebagainya, jangan lupa bawa bekalan ubatan.

Anda juga boleh membawa Panadol, ubat batuk dan minyak angin.

Jika yang pergi ke sana ialah ibu-bapa anda, belikan ubat-ubatan mereka siap-siap. Jangan lupa tulis berapa dosage yang mereka perlu ambil.

Jika anak-anak yang menyediakan barang kelengkapan untuk untuk ibu, pastikan ubat-ubatan ada dalam checklist.

 

Kerusi roda / tongkat

Yang muda dan sihat, tidak perlu.

Sekiranya ada orang tua, sebaik-baiknya bawalah kerusi roda atau tongkat dari sini. Ini dapat memudahkan mereka yang memerlukan untuk bergerak dan beribadat.

Di sana juga disediakan tetapi jumlahnya terhad.

 

Duit

Bawalah duit mengikut keperluan. Jika hendak membeli buah tangan untuk diri sendiri atau orang lain, sediakan bajet yang mencukupi. Jangan lupa sedikan duit dalam Ringgit Malaysia dan Riyal.

Jemaah haji dan umrah perlu membuat kad atm di Bank Al Rajhi. Kad itu perlu diaktifkan sebulan sebelum bertolak ke Tanah Suci.

Ada caj perkhidmatan yang dikenakan jika menggunakan kad tersebut. Oleh itu, jika perlu guna banyak wang, keluarkan sekali dalam jumlah yang banyak.

Kad kredit juga boleh dibawa, jika tidak mahu membawa wang tunai yang banyak. Jangan lupa pula untuk mengaktifkannya. Jika takut berbelanja di luar kawalan, tidak perlulah dibawa.

 

Tasbih

Boleh juga bawa tasbih biasa atau yang berbentuk digital. Rasanya tasbih digital lebih kecil, mudah dibawa dan lebih praktikal jika hendak berzikir di mana-mana.

 

Alat penyembur wuduk (wuduk spray)

Lebih praktikal untuk mengambil wuduk jika berada di kapal terbang dan masjid. Tidak perlu bersusah-payah untuk mencari tandas.

Cuma jika ada masalah keluar angin selalu, iaitu kentut, terutama bagi warga emas, disarankan agar masukkan wuduk spray dalam checklist umrah.

Jangan lupa pula bawa sapu tangan kecil sekali sebanyak 2 helai. Ia boleh dijadikan alas tempat untuk mengambil wuduk.

 

Plastik kasut

Walaupun di masjid ada disediakan plastik untuk memasukkan kasut para jemaah, lebih baik bawa plastik sendiri. Senang hendak dikenal pasti nanti.

 

Bantal kecil

Sediakan bantal kecil sahaja atau boleh juga bantal angin. Boleh digunakan di dalam kapal terbang atau di Arafah dan Mina nanti.

 

Gunting kecil

Boleh digunakan untuk bertahalul iaitu bercukur. Malahan, gunting juga boleh digunakan untuk kegunaan umum di sana nanti.
Beli sahaja satu set yang lengkap semuanya di mana-mana kedai farmasi.

 

Sejadah kecil

Cukuplah bawa sejadah kecil untuk solat di luar masjid.

 

Barang penjagaan diri dan wajah

Orang perempuan memang tidak dapat lari dari keceriaan wajah. Berada di Mekah dan Madinah, tidak bermakna tidak perlu menjaga diri dan dalam keadaan selekeh.

Jadi keperluan umrah wanita yang perlu dibawah ialah barang penjagaan diri dan wajah.

Antara yang perlu dibawa ialah losyen dan vaseline untuk mengelakkan bibir dan kulit menjadi kering.

Malahan, jika hendak bawa syampu, sabun, berus gigi dan sebagainya juga boleh, jika tidak selesa menggunakan yang disediakan di hotel. Pastikan saiznya kecil sahaja.

Boleh juga bawa penyepit kuku dan sikat.

 

Topeng mulut

Semasa umrah di Mekah, pasti keadaan berdebu. Semasa dalam perjalanan dari hotel, anda akan terhidu habuk dan debu, ekoran cuaca yang kering dan panas.

Anda perlu bawa topeng mulut mengikut keperluan. Ia berguna ketika anda pergi ke tempat yang berpasir. Malah, untuk menambah tenaga dan stamina, boleh juga membawa makanan kesihatan tambahan.

 

Beg besar

Pastikan beli beg kargo yang bersaiz besar misalnya 32 inci ke atas.

Mana tahu, anda beli ole-ole sampai lupa dunia dibuatnya. Susah juga kalau hanya bawa beg kecil kan?

Jangan lupa bawa sekali karung beg kargo sebagai pelindung jika beg kita terkoyak atau rosak.

 

Beg sandang

Untuk kemudahan ketika mendaki gunung, bawalah sekali beg sandang untuk meletakkan barang keperluan, air dan sebagainya.

Paling penting ialah penanda beg untuk tujuan pengecaman. Tidaklah risau kalau beg anda sama dengan orang lain kerana penanda beg boleh dikreatifkan.

 

Makanan kering

Keperluan umrah wanita ini tak lengkap kalau tiada makanan. Nama pun orang perempuan, memang tak dapat dipisahkan dengan makanan.

Sambal hitam adalah penting. Bukan semua orang mempunyai selera yang sama kan? Ada yang cepat jemu makan makanan Arab.

Langkah terbaik bawalah sambal kering, mi dan bubur segera, sos cili, kicap dan sebagainya. Jika untuk minum-minum petang, boleh sahaja bawa minuman 3 dalam 1, biskut dan sebagainya.

 

Alatan dapur plastik

Jika rindu masakan Malaysia, boleh sahaja masak sendiri. Jangan lupa bawa pisau, pinggan, mangkuk plastik, papan pemotong dan sebagainya.

Pisau nanti boleh potong buah yang dibeli di tepi-tepi jalan.

Bawa yang ringan-ringan sahaja!

 

Surat khabar

Untuk membungkus bahan buangan seperti lampin dan sebagainya. Boleh juga dijadikan kipas ketika berada di sana kerana cuaca sangat panas di sana.

Tak bawa pun tak apa, boleh beli di sana.

 

Peralatan elektronik

Jangan pula lupa hendak bawa power bank dan pengecas telefon bimbit yang berguna ketika wukuf nanti. Malahan, extension plug dan international adapter juga amat penting ketika berada di sana nanti.

 

Penyangkut baju

Jangan lupa bawa penyangkut baju kerana tempat untuk sidai agak terhad. Selalunya berkongsi bilik dengan ramai jemaah yang lain.

 

Sabun basuh

Ini bukanlah antara keperluan umrah wanita yang penting.

Cuma jika anda sensitif dengan bau, bawalah sabun basuh yang anda suka.

Jika malas hendak basuh baju, ada banyak perkhidmatan dobi di sana. Jika tiada pun tidak mengapa, boleh sahaja beli di sana.

 

Tali ampaian

Tali ini sangat penting untuk sidai baju yang sudah dibasuh.

Jemur tidak lama, cuma sekejap sahaja. Cuma tempat agak terhad. Anda boleh ikat dari hujung dinding ke hujung dinding.

 

Jarum & benang

Jarum dan benang juga boleh digunakan jika baju terkoyak dan sebagainya. Ingat, jangan pula bawa mesin jahit mini!

 

Sim card

Kad sim juga boleh dibeli di sana.

Namun yang lebih baik, belilah ketika berada di lapangan terbang di Jeddah kerana di Mekah nanti pasport kita akan disimpan oleh pihak pengurusan Tabung Haji atau agensi yang terlibat.

 

Tambahan: Keperluan haji wanita

Ini ialah tambahan untuk checklist haji wanita, yang lain sedikit dari keperluan umrah perempuan. Kenapa lain?

Ini kerana ada ibadah tambahan dalam haji yang tidak sama dengan umrah.

Ibadah Umrah vs ibadah Haji

Ibadah haji boleh mula dilakukan pada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah iaitu bermula pada Hari Raya Aidilfitri sehingga Hari Raya Aidiladha. Manakala, ibadah umrah pula boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja (termasuk di luar musim haji).

Kami sediakan checklist tambahan ini sebagai extension dari keperluan umrah wanita.

Jika anda masih lagi belum mendapat tawaran untuk tahun ini, boleh mencuba dengan menghantar surat rayuan haji.

 

Uncang batu

Bawalah sebuah uncang kecil untuk memasukkan batu bagi melontar jamrah. Jadi, tidaklah perlu menggunakan plastik. Mudah untuk kita kenal uncang kita sendiri, agar tidak tertukar dengan jemaah lain.

 

Bantal kecil

Sediakan bantal kecil sahaja atau boleh juga bantal angin. Boleh digunakan di dalam kapal terbang atau di Arafah dan Mina nanti.

 

Cawan kecil

Cawan kecil, sudu, garpu dan mangkuk boleh digunakan ketika berada di Arafah dan Mina untuk sediakan makanan seperti mi segera.

Bayangkan dengan keadaan manusia yang terlalu ramai, pastinya dengan barangan yang kita bawa sendiri, ia lebih memudahkan.

 

Kain batik (tak berjahit)

Ia boleh digunakan sebagai pelindung atau atap di luar khemah ketika di Arafah.

 

Seluar dalam (pakai buang)

Digalakkan juga membawa seluar dalam pakai buang untuk dipakai ketika di Arafah dan Mina. Kenapa perlu yang pakai buang?

Keadaan di sana, menunggu untuk masuk tandas adalah sangat lama. Ada kalanya, ia boleh menyebabkan jemah wanita terkencing dalam seluar.

 

Belajar solat jenazah

Tahukah anda, setiap kali selepas solat fardhu, akan ada solat jenazah? Bagi yang tidak biasa, boleh baca cara solat jenazah yang ringkas ini.

Cuma agak sukar bagi kita yang tidak berbahasa Arab, untuk membezakan samada jenazah itu adalah lelaki atau perempuan. Ini kerana bacaannya sedikit berlainan.
Untuk kepastikan, dapatkan nasihat dan pandangan dari ustaz dan mutawif anda.

Tempat menjual kelengkapan haji dan umrah

Jika hendak mencari kelengkapan sebelum ke sana nanti, bolehlah beli di tempat-tempat berikut mengikut bajet anda. Antaranya:

  • Pasar raya terpilih seperti Mydin di seluruh Malaysia
  • Fitrah Al Hajj
  • Al-Kauthar
  • Haqq
  • Bindaud
  • Galeri Muslim

 

Akhir kalam

Moga artikel tentang barang keperluan umrah wanita ini memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Kami mendoakan agar perjalanan para jemaah haji dan umrah akan diberkati Allah S.W.T. Semoga para jemaah akan mendapat umrah yang maqbul.

Sebelum ke sana, semak cara solat taubat untuk memohon ampun kepada Allah terlebih dahulu. Baca juga cara solat tahajjud dan lazimi bangun malam untuk lebih merasaai dan menjiwai perjalanan ibadah ini. Hafal juga doa selepas solat, agar tidak perlu kita terkial-kial buka buku doa semasa di sana.

Sesekali, tontonlah bagaimana keadaan di Makkah secara live.

Jangan lupa kongsikan artikel ini kepada ahli keluarga dan sahabat handai untuk panduan bersama.

Jika ada sebarang informasi dan panduan yang boleh ditambah, kami mengalu-alukan sebarang maklum balas tentang keperluan umrah wanita ini. Andai ada kesilapan maklumat, mohon ditegur dan diperbetulkan.

Semoga bermanfaat.


10 thoughts on “Keperluan Umrah Wanita, Ini 40 Checklist Barang Kelengkapan”

  1. Terima kasih Noraini. Perkongsian saudari amat bermanfaat pada saya yang buat pertama kalinya kan mengerjakan umrah tak lama lagi. Doakan perjalanan saya lancar dan umrah yang mabrur. Terima kasih sekali lagi, Noraini. Semoga saudari dan keluarga dimurahkan rezeki selalu dan sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah.

    Reply
  2. Alhamdulilah…terima kasih dengan perkongsian nya…Semuga perjalanan akak nnt lancar d permudahkan…

    Reply
  3. Temakasih atas infonya.
    Saya akan berangkat ke unrah pada 17/11 nanti.Doakan saya dan suami dipermudahkan melakan umrah dgn sempurna.

    Reply
  4. InshaAllah saya akan berangkat mengerjakan umrah 10 Disember 2022 nanti.
    Semoga Allah permudahkan segala urusan ibadah, ziarah dan perjalanan pergi balik saya dan bonda tercinta.
    Doakan saya dan bonda saya sihat dan sejahtera agar dapat beribadah dengan sempurna seterusnya mendapat umrah yang mabrur.
    Aamiin 3x

    Reply
    • Terima kasih atas info² Hjh Nooraini. Sy xpernh ke tanah suci. Ini 1st time n in shaa Allah mengerjakn haji. Mmg mncari info² sebegini. Xdpt bygkn keadaan di sana kelak. Doakn sy mndpt haji yg mabrur..amiin

      Reply

Leave a Comment