Apabila anda terjaga daripada tidur pada waktu malam, ianya dituntut untuk anda melakukan ibadah solat sunat tahajjud bagi mendapatkan rahmat daripada Allah S.W.T. Apalah salahnya mendirikan 2 rakaat solat tahajud yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja? Disarankan agar kita semua ambil tahu cara solat tahajjud yang ringkas dan mudah. Bila sudah biasa, tak akan rasa terbeban.
Maka, izinkan kami terangkan panduan melakukan solat sunat tahajjud yang diambil daripada penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Maksud solat tahajjud
Apa itu solat tahajjud?
Bagi yang tidak tahu, tahajjud ialah solat sunat apabila anda terjaga daripada tidur malam walaupun hanya tidur sebentar. Solat ini dilakukan selepas daripada waktu isyak sehingga terbit waktu fajar.
Akan tetapi, waktu paling afdhal dalam melakukan ibadah ini adalah pada satu pertiga malam iaitu pada kira-kira jam 3.00 pagi sehingga terbitnya fajar. Solat ini dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat samada bersendirian atau secara berjemaah.
Pengerjaan ibadah ini dapat dilihat daripada firman Allah S.W.T di mana Allah berfirman:
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’: 79)
Terdapat juga hadith daripada Rasulullah SAW yang bersabda:
“Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”
(Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
Oleh itu, ianya tidak dinafikan lagi bahawa ibadah ini sememangnya dianjurkan oleh Rasulullah dan para sahabat berikutan dengan firman Allah S.W.T yang turun bersama dalam ayat 79 Surah Al-Isra’.
Fadhilat dan kelebihan
Kita bukannya perlu tahu cara solat tahajjud sahaja. Perlu juga tahu apa kelebihannya, supaya lebih termotivasi dan terinspirasi untuk bangun setiap malam.
Terdapat banyak kelebihan dan fadhilat sekiranya anda mengamalkan solat sunat tahajjud sebagai rutin ibadah harian anda.
Di samping ganjaran pahala yang banyak, anda juga akan dinaikkan darjat anda jika anda istiqomah dalam melakukan ibadah solat sunat tahajjud ini. Oleh itu, antara fadhilat yang lain yang datang bersama amalan solat tahajjud ini adalah:
- Mendapatkan perlindungan dan pengawasan Allah S.W.T dan menampakkan kesan-kesan ketaatan pada wajah anda.
- Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orang-orang mukmin.
- Percakapan anda akan mempunyai hikmah, kebenaran dan bijaksana.
- Wajah anda akan menjadi bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
- Anda akan dimudahkan hisab.
- Anda mudah untuk melalui Titian Siratul Mustaqim seperti kilat yang menyambar.
- Anda akan menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
- Anda dijauhkan daripada kebinasaan.
Waktu solat tahajjud
Dalam hal ini, sumber dari Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan ada tiga pendapat:
- Pada mulanya tidur, kemudian solat, kemudian tidur dan kemudiannya solat.
- Bersolat setelah tidur terlebih dahulu.
- Dilakukan selepas solat Isya’.
Inilah dakwaan oleh para ulama’ tabi’in berkaitan cara tahajjud. Boleh jadi mereka melandaskan pandangan itu kepada perbuatan Nabi SAW yang tidur dan solat, kemudian tidur, dan bangun bersolat.
Lantaran itu, mereka menjadikan perbuatan Baginda SAW itu sebagai menunjukkan bagaimana menjunjung perintah dalam ayat al-Quran terbabit. Jika demikian halnya, maka tidak jauh kemungkinan benarnya pendapat tersebut.
Cara solat tahajjud yang ringkas
Solat Tahajjud amatlah mudah untuk didirikan dan anda boleh lakukannya sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di bawah adalah tatacara dalam melakukan solat sunat tahajjud:
- Niat
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.”
- Bacaan Dalam Solat
Rakaat Pertama:
Pada rakaat pertama anda boleh baca surah al-Fatihah dan disambung dengan surah al-Kafirun
Rakaat Kedua:
Pada rakaat kedua anda boleh baca surah al-Fatihah dan disambung dengan surah al-Ikhlas
Doa selepas solat tahajjud
Maksudnya: “Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya.
Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum.
Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian, dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
Sebenarnya, tidak semestinya perlu ikut doa selepas solat tahajjud ini sepenuhnya. Anda digalakkan juga untuk berdoa apa-apa sahaja dalam Bahasa Melayu. Lebih afdal ialah apa sahaja yang terbuku dalam hati, dan luahkannya dengan mulut.
Berdoalah. Merintihlah, sehingga menangis teresak-esak.
Tips bangun malam untuk tahajud
Cara solat tahajjud sudah ada. Kini adalah masa untuk berperang dengan diri sendiri supaya boleh bangun malam.
Untuk melakukan sembahyang malam, ada beberapa perkara yang anda perlu ambil kira.
Antaranya ialah:
- Mestilah tidur awal jika mahu bangun awal. Jangan tidur terlalu lambat kerana kebarangkalian jika memaksa diri untuk sembahyang tahajjud, anda akan terlepas sembahyang Subuh
- Jangan makan terlalu kenyang sebelum tidur. Disarankan agar makan sebelum sembahyang Maghrib. Sukar untuk bangun jika perut terlalu kenyang.
- Berwuduk sebelum tidur kerana itu ialah sunnah Nabi Muhammad s.a.w
- Berdoa memohon sungguh-sungguh agar Allah kejutkan anda agar dapat menunaikan sembahyang malam
Akhir kalam
Kesimpulannya, solat sunat tahajjud ini sangatlah mudah untuk diamalkan. Jika ikut sahaja panduan ini, tidaklah sesukar mana. Mudah sahaja.
Semoga panduan cara solat tahajud ini dapat membantu anda dalam mendirikan solat sunat tahajjud dengan lebih istiqomah. Apabila terjaga dari tidur, ambillah wuduk, berjagalah malam dan dirikanlah qiamullail walau sebentar.
Jika ada kelapangan masa, selesai solat tahajjud, sambung pula dengan solat sunat taubat dan solat sunat hajat.
Semoga malam-malam kita lebih indah dan diberkati.
Jangan lupa baca cara solat jenazah yang ringkas juga. Mudah-mudahan, tidak kekok bagi kita untuk beri penghormatan terakhir.
Semoga bermanfaat.
Salaam…maknanya DOA boleh Bahasa Melayu ye..Sah Rupa
Asalamualaikum salam sejahtera slmt pagi saya amat bersyukur kehadhrat allah swt kerana terjumpa portal Malaysia ni dengan segala isi kandungan yang penuh butiran yang sungguh bermanfaat yang memberi tunjuk ajar cara mengerjakan solat sunnat Tahajjud yang cukup mudah difahami serta berkesan terhadap diri saya.
Saya Umur 43 dah, baru nak mula buat tahajjud, adakah sy sudah terlambat..? Sebelum ni sy berusaha bg cukup solat 5 waktu, berusaha solat diawal waktu…. walaupun sy dari sekolah Agama, tp sikap malas sy,sy bertangguh2 utk buat tahajjud,sekarang baru rasa nk buat,adakah sy sudah terlambat., ?
Tidak terlambat sahabat islamku 🥰
dh lama saya tak menangis,tp skrg saya dh mula menangis dlm solat..ya,allah klu diizinkn allah saya meninggalkan dunia ini..tp bagaimana dengan orang lain..ya,allah..
Klau solat tahajjud bole kah, doanya pendek saja
@Syed yassen bin Syed Muhammed.doa dalam bahasa Melayu tu dibaca slps solat. Klu baca didlm solat tdk sah solat tersebut. Di dlm solat hanya menggunakan bahasa al Quran iaitu bahasa Arab. Semiga bermanfaat.
Salam..saya dah mula buat solat tahjud tapi sujud yg trakhir sebelum mberi salam doanya saya susah nak hafal Di sebabkbln peningjatan umur…bolih ke saya brDOA dgn bacaan lain ..terima kasih..
Waktu sedang solat tu, hanya lafaz doa dalam bahasa arab sahaja. Jika lafaz bahasa lain walaupun sepatah BATAL lah solat kita. Kalau nak berdoa dalam bahasa Melayu, boleh tapi dalam hati, jangan terlafaz keluar dari mulut. Atau kalau rasa tak puas, berdoalah selepas habis solat, sama shj, Allah Maha Mendengar rintihan hamba²Nya.. Wallahua’lam.
Boleh ke lafaz niat dlm bahasa melayu ? Sah ke solat ?
Boleh ke solat tahajud jika tidak tidor terlebih dahulu?
Selepas al fatihah boleh ke guna surah al ikhlas rakaat pertama dan an nas rakaat kedua, sbb saye tak berapa hafal surah² lain.
Sebelum solat perlu mandi dulu atau bangun sahaja dari tidur terus ambil wudhuk dan solat ?