Cara Solat Duduk Atas Kerusi (Kaedah Yang Betul)

Solat secara bahasa (etimologi) bererti doa, manakala dari segi istilah atau syari’ah (terminologi), solat adalah ibadat yang terdiri daripada perkataan dan perbuatan tertentu atau khusus yang dibuka atau dimulai dengan takbir Allahu Akbar (takbiratul ihram) dan diakhiri atau ditutup dengan salam (Assalamualaikum). Tidak kiralah solat berdiri atau dengan cara solat duduk atas kerusi, rukunnya tetap sama.

Solat merupakan rukun perbuatan yang paling penting di antara rukun Islam yang lain sebab ia mempunyai pengaruh yang baik bagi kedudukan akhlak manusia. Solat terbahagi kepada solat fardhu dan solat sunat.

Solat fardhu

Solat fardhu didirikan sebanyak lima kali sehari semalam pada setiap hari, dan diwajibkan ke atas orang Islam yang baligh dan berakal.

Sekiranya seseorang tertinggal solat fardhu, wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada’. Bagi mereka yang musafir pula, ia merupakan rukhsah (keringanan) yang diberikan, dan harus bagi solat dengan menqasar dan menjamakkannya.

Akan tetapi, pernahkah anda tahu mengenai kewajipan solat bagi orang yang uzur?

 

Cara solat orang uzur

Orang yang uzur tidak terlepas daripada tuntutan wajib solat fardhu. Dia tetap dituntut mengerjakannya dengan apa jua yang terdaya olehnya tanpa meninggalkan sebarang rukun fi’li solat kecuali dalam keuzuran.

Gambaran mudah mengenai keuzuran tersebut adalah seperti wanita yang mengandung, di man kandungannya telah mencecah lapan bulan, sehingga mengehadkan kemampuannya untuk berdiri ketika ingin menunaikan solat. Gambaran lain adalah seperti orang tua yang tidak boleh berdiri lama.

Banyak sebab yang membolehkan seseorang itu terpaksa meninggalkan salah satu rukun solat, iaitu berdiri tegak. Antaranya ialah kemalangan, sakit tenat, keuzuran, semasa dalam kenderaan, atau wanita hamil yang tidak mampu berdiri lama.

Apabila hal sebegini berlaku kepada anda, maka anda diberi keringanan untuk menunaikan solat, bukanlah dengan meninggalkannya kerana solat tetap wajib. Keringanan yang dimaksudkan adalah solat secara duduk dan solat secara baring.

Solat duduk atas kerusi

Mari kita lihat langkah sempurna bagaimana anda boleh solat secara duduk sekiranya kemampuan anda untuk solat dengan berdiri tegak terbatas. Solat secara duduk terbahagi kepada tiga.

Jenis solat duduk

  1. Solat dengan duduk di atas lantai tempat solat dengan duduk secara iftirasy. Duduk iftirasy juga dikenali sebagai duduk antara dua sujud.
  2. Solat secara duduk atas kerusi
  3. Solat secara duduk atas katil atau di birai katil (lazimnya bagi pesakit di hospital)

 

Cara solat duduk atas kerusi

Sebagai contoh, mari kita lihat cara solat secara duduk atas kerusi:

  • Pastikan kedudukan solat anda menghadap kiblat.
  • Bagi yang mampu, berdiri tegak, mulakan solat dengan berniat.
  • Lakukan takbiratul ihram, kemudian duduk, seandainya anda tidak mampu berdiri lama. Bagi anda yang sememangnya tidak mampu berdiri langsung tetapi masih boleh duduk, lakukan niat & takbiratul ihram secara duduk.
  • Kemudian, baca surah Al-Fatihah.
  • Apabila hendak rukuk, tundukkan sedikit badan, sebaik-baiknya kedudukan dahi adalah setentang dengan tempat sujud, ataupun sekurang-kurangnya kedudukan dahi setentang melepasi paras lutut.
  • Apabila hendak melakukan i’tidal, kembali tegakkan badan dan lakukan I’tidal seperti biasa.
  • Untuk melakukan sujud, tundukkan badan serta menghampirkan dahi semampunya ke tempat sujud. Bagi yang mampu untuk sujud di atas lantai tempat solat, anda boleh banggun sedikit daripada kerusi dan lakukan sujud seperti biasa.
  • Untuk melakukan duduk antara dua sujud, kembali tegakkan badan dan lakukan seperti biasa. Sujud semula untuk sujud kedua.
  • Ulang kesemua perbuatan di atas mengikut tertib solat fardhu yang dikerjakan sehingga solat anda sempurna.
  • Untuk duduk tasyahhud (tahiyyat), duduk di aatas kerusi dan lakukan tahiyyat awal dan tahiyyat akhir seperti biasa.
  • Beri salam setelah selesai tahiyyat akhir.

 

Islam itu mudah

Hikmah diberikan keringanan dengan cara solat secara duduk atas kerusi ini adalah bukti bahawa Islam adalah agama yang mudah.

Maka, kita diberi pilihan untuk melakukan sesuatu sesuai dengan keupayaan kita. Selain itu, rukhsah dalam solat juga menunjukkan betapa kasih dan saying Allah pada hambaNya.

Oleh itu, tunaikanlah solat walaupun dengan cara duduk sebagai tanda kecintaan kita terhadap Allah SWT.

 

Akhir kalam

Perkongsian di atas hanyalah yang ringkas dan mudah sahaja. Jika anda mahukan maklumat lebih lanjut, terutama sekali tentang fatwa dan hukum-hakam solat duduk, boleh layari laman web Mufti Wilayah Persekutuan di sini.

Jemput juga baca perkongsian tentang doa selepas solat.

Semoga bermanfaat.


2 thoughts on “Cara Solat Duduk Atas Kerusi (Kaedah Yang Betul)”

  1. jika solat duduk semasa mendapatkan rawatan seperti dialisis, sedangkan kerusi dan mesin kekal disuatu sudut dan tidak menghadap kiblat, adakah dibolehkan, dan adakah sah solat itu?

    Reply
  2. Ajaran sesat sembahyang atas kerusi.
    Tiada hadis nabi
    Ajaran jahiliah
    Seperti ajaran nabi ibrahim diubah, jadi jahiliah

    Reply

Leave a Comment