Berikut ialah perkongsian dari Abu Alif tentang cara hafal Quran yang dilaluinya sendiri.
Pendahuluan
Penafian
Sila baca ini terlebih dahulu.
Artikel ini ialah artikel yang sangat panjang.
Saya bukanlah seorang guru Al-Quran. Bukan juga seorang hafiz yang mempunyai 30 juzuk dalam dada.
Saya masih lagi bertalaqqi bersama guru. Masih lagi mengulang yang menyemak bacaan dengan guru.
Perkongsian ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri. Sudah lama saya teringin menulis artikel tentang pengalaman menghafal Al-Quran dan berkongsi dengan orang ramai.
Ini bukanlah satu kaedah atau teknik yang sistematik. Ia lebih daripada perjalanan diri sendiri bersama Al-Quran.
Baru kini terpanggil untuk berkongsi, dengan izin Allah.
Kelebihan, kepuasan, kegembiraan & kenikmatan
Saya bukan kata saya ada kelebihan. Tidak.
Saya cuma ingin berkongsi kelebihan dalam menghafal Al-Quran.
Bukan untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk. Tidak.
Saya cuma ingin berkongsi apakah antara perkara yang berlaku selepas saya menghafal 1-2 juzuk Al-Quran iaitu juzuk 27 dan juzuk 28, walaupun tidak berapa lancar.
Sukar digambarkan
Kegembiraan dan kenikmatan ini, sangat sukar untuk digambarkan.
Ada banyak aha moment, wow moment atau Eureka effect yang berlaku.
Eureka effect atau kesan eureka merujuk kepada pengalaman manusia biasa yang tiba-tiba memahami masalah atau konsep yang tidak dapat difahami sebelum ini dengan izin Allah.
Tak akan dapat rasa, kalau tak hafal
Ada banyak perkara yang saya rasa, saya tak akan dapat rasa kenikmatan sebegini jika tidak menghafal Al-Quran.
Semoga ia serba sedikit dapat memberi inspirasi bagi sesiapa yang teringin untuk memulakan menghafal Al-Quran.
Apa yang penting, bukanlah cara hafal Al-Quran itu, tetapi mindset. Semoga niat dan usaha anda semua diberkati Allah.
Temankan isteri bersalin dengan Al-Quran
Lebih kurang 45 minit sebelum isteri saya bersalin, saya masih lagi dalam mesyuarat. Saya terpaksa bawa anak-anak sekali pergi meeting.
Tiba-tiba, dapat panggilan dari jururawat dari Hospital Avisena (dulu DEMC) isteri sudah berada dalam labour room. Bukaan sudah besar. Akan bersalin bila-bila masa.
Kelam kabut minta undur diri. Bingkas bangun.
Jantung berdegup kencang. Mulut tak henti-henti mengulang bacaan Al-Quran yang saya sudah hafal. Sepanjang perjalan mulut terkumat-kamit.
Sampai sahaja di hospital, terus bergegas ke labour room. Temankan isteri.
Sambil baca surah An-Najm.
Kenapa surah An-Najm?
Ini sahaja surah yang saya lancar pada waktu itu.
Apabila keadaan getir pada waktu itu, ada juga terlupa.
Tak sampai 20 minit, anak perempuan saya dilahirkan.
Allah mudahkan semua urusan.
Tidurkan anak dengan Al-Quran
Biasanya, isteri saya yang tidurkan anak sambil menyusu badan. Saya memang jarang-jarang sekali tidurkan anak.
Cuma apabila anak mengamuk dan buat hal, mengantuk tapi masih lagi mahu main, saya terpaksa juga tidurkan dia.
Tak sempat habis satu surah An-Najm, anak sudah tidur. Mungkinkah kerana dia ingat, saya selalu baca masa dia dalam perut, dan semasa dia mahu keluar dulu?
Dulu, cuma baca zikir dan selawat untuk tidurkan anak. Ulang-ulang.
Kini, Allah izinkan saya dodoikan dalam dakapan sendiri dengan ayat-ayat suci.
Dengar bacaan ayat-ayat suci di IKIM FM
Dulu, saya bukanlah peminat radio IKIM FM. Saya akan dengar Era, Mix dan BFM. Lain-lain siaran yang banyak hiburan pun ada juga.
Bila tukar siaran kepada IKIM FM, kadang-kadang Allah takdirkan untuk saya terdengar surah yang saya hafal.
Dia punya excited bukan alang kepalang. Gembira bukan main. Senyum sampai ke telinga.
Bagaikan lagu artis yang kita sanjung, yang kita tergila-gilakan, dimainkan di corong radio.
Lebih kurang beginilah perasaannya.
Perasaan gembira bila imam baca
Saya teringat saya solat Jumaat di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa.
Tiba-tiba imam baca ayat yang saya hafal. Sekali lagi, seronok bukan main.
Tapi hati ini, tak ingat sebenarnya surah apa. Tapi ikut sahaja imam baca.
Bila imam habis bacaan, dan mula untuk rukuk’, hati bagaikan tidak puas. Terdetik, “Alaaaaa, kenapa cepat sangat”.
Rasa tak puas.
Bila ustaz ceramah, quote ayat yang kita tahu
Begitu juga bila terdengar mana-mana ustaz yang quote ayat yang kita tahu. Rasa berkobar-kobar dan gembira.
Cuma, kadang-kadang, ada ayat sahaja yang kita hafal. Makna ayat itu, langsung tak tahu.
Masa itulah baru terkial-kial buka telefon bimbit untuk dapatkan maksud di sebalik ayat itu.
Baru terasa, “Aha, rupanya ini maksud ayat tu. Hafal dah lama, tak pernah faham apa cerita dia”.
Ingat lagi tentang Eureka moment? Inilah antaranya.
Kita faham satu bahagian. Allah bagi lagi satu bahagian secara perlahan-lahan.
Baca Al-Quran semasa ayah meninggal dunia
Semasa ayah masih hidup, saya ada juga cerita pada dia yang saya dalam proses menghafal Al-Quran. Dia tidaklah kata apa-apa sangat.
Cuma saya tahu, dia bangga. Cuma tak diluahkan dengan kata-kata.
Sebab dulu, masa muda-muda, saya bukanlah baik sangat. Suka lawan cakap dia.
Selepas dapat berita kematian ayah, mulut saya tak berhenti-henti sedekahkan Al-Quran pada ayah.
Di lebuhraya, saya tidak buka radio langsung. Hanya mengulang bacaan.
Sampai di rumah, lihat jasad ayah, saya ulang lagi bacaan.
Saya juga tanpa rasa segan silu, Whatsapp kepada rakan-rakan tahfiz yang lain untuk sedekahkan bacaan Al-Quran pada ayah saya.
Alhamdulillah, saya dapat uruskan jenazah ayah dari mula hingga akhir. Memandikan, mengkafankan dan solatkan.
Impian saya untuk jadi imam solat jenazah ayah, terkabul.
Saya pernah terdengar (maafkan jika tersilap), ibu bapa akan rasa bangga di alam kubur nanti apabila kita sebagai menguruskan jenazah ibu bapa.
“Baju ini, anak aku yang pakaikan!”
“Anak aku yang solatkan!”
Alhamdulillah, saya puas.
Melawat orang meninggal dunia dan sedekahkan Al-Quran
Ada kejadian di mana ada jiran-jiran atau keluarga jiran-jiran yang meninggal dunia.
Kebetulan saya ada masa untuk melawat.
Dulu-dulu, bila melawat, melawat sahaja. Sambil bersembang-sembang.
Kini, bukan sahaja baca Surah Yaasiin, saya boleh duduk dan sedekahkan 1 juzuk Al-Quran. Kadang-kadang, tak sedar sudah 40 minit saya sudah duduk di sebelah jenazah.
Saya harap, apabila saya sudah menjadi jasad yang kaku, akan ada insan yang berhati mulia untuk sedekahkan saya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran juga.
Cara hafal Quran, sambil mengulang dengan berjogging atas treadmill
Kadang-kadang, saya pergi keluarkan peluh di gimnasium. Tidak lama, berlari dalam 15 minit sahaja. Kira-kira 1 kilometer.
Sepanjang masa itu, saya boleh dapat setengah juzuk.
Mengulang sambil naik kereta, perjalanan jauh
Ini adalah saat-saat yang paling sesuai dan ditunggu-tunggu.
Jika perjalanan dekat, kadang-kadang tidak sampai satu juzuk. Terganggu dengan sikap pemanduan orang-orang kita. Mulalah mulut mahu keluarkan kata-kata yang tidak enak didengar.
Jika perjalanan jauh, pasti menggunakan lebuhraya. Jalan lebih selesa, fikiran lebih relaks.
Selalunya, dalam perjalanan Shah Alam – Cyberjaya iaitu lebih kurang 50km, saya dapat habiskan 1 juzuk.
Sampai sahaja ke destinasi, rasa seronok sebab dapat mengulang bacaan.
Membetulkan bacaan imam
Masih segar dalam ingatan. Pada waktu itu, waktu solat Subuh berjemaah di surau. Saya di saf kedua.
Imam baca Al-Fatihah.
Selesai sahaja imam baca Al-Fatihah, saya pun baca Al-Fatihah. Makan, imam mulakan bacaan Surah Al-Hadid.
Dalam pada saya baca Al-Fatihah, terdetik dalam hati; “Oh ini surah yang aku tahu!”. Saya teruskan baca Al-Fatihah, sebab nanti boleh ikut sekali imam baca Al-Hadid.
Tiba-tiba imam terdiam. Imam terlupa ayat yang seterusnya.
Saya habiskan dulu Al-Fatihah.
Imam ulang lagi sekali. Terdiam lagi.
Saya sudah mula rasa goosebump. Bulu roma naik. Rasa seram sejuk.
Dalam hati berkata, “Perlu ke aku sambung? Perlu ke aku betulkan?”
Ini pertama kali berlaku dalam hidup. Tak pernah terjadi sebelum ini.
Dari saf kedua, agak jauh dari imam, saya cuba beranikan diri. Saya kuatkan sedikit suara dan sambung apa yang imam terlupa.
Imam sambung semula dari ayat yang saya baca tadi.
Dia punya perasaan, tak boleh nak digambarkan. Naik bulu roma.
Saat menulis ini juga, saya rasa goosebump.
Cara hafal Al-Quran, Bahagian 1: Mindset
Saya harap, anda dapat sedikit inspirasi dan motiviasi dari perkongsian tentang nikmat Al-Quran.
Jujur saya berterima kasih pada Allah kerana walaupun hafal cuma sedikit, Allah berikan nikmat ini di dunia lagi.
Kita sambung untuk tips hafal Al-Quran secara part-time ini.
Ada 3 bahagian
Tips atau cara hafal Al-Quran ini, saya bahagikan kepada 3 bahagian.
Bahagian pertama ialah tentang mindset.
Bahagian kedua tentang akhlak.
Bahagian ketiga, barulah tentang teknikal.
Mindset yang paling penting
Sebenarnya, dalam banyak-banyak perkara, ini adalah yang paling penting sekali.
Saya mengambil sedikit perkongsian juga dari Dr Shafie Md Amin, seorang akauntan profesional yang hafal Al-Quran 30 juzuk. Beliau ambil masa 10 tahun untuk hafal keseluruhan Al-Quran. Boleh baca buku tentang perjalanan hidup beliau bersama Al-Quran.
Juga saya ambil sedikit perkongsian dari Fadhil Azman dari Singapura, yang berkongsi tips menghafal Al-Quran dalam masa 4 bulan sahaja.
Saya tambah sedikit lagi, melalui pengalaman diri sendiri.
Betulkan niat
Betulkan dahulu niat kenapa kita mahu hafal Al-Quran? Pastikan ia adalah untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata.
Jika tidak, istighfar. Bersihkan hati terlebih dahulu.
Kenapa perlu bersihkan hati terlebih dahulu?
Saya cakap begini, sebab saya sudah melaluinya. Ketika dalam proses menghafal surah Ar-Rahman, niat saya tidak betul.
Entah kenapa saya berkata pada diri sendiri, “Kalau aku jadi imam nanti, kawan-kawan jadi makmun, mesti bangga bila dapat tahu aku hafal surah Ar-Rahman”.
Nampak tak, betapa salahnya dan jijiknya tujuan saya?
Hafal untuk berbangga-bangga.
Semoga Allah tetapkan hati saya untuk terus menghafal tanpa mengharap apa-apa pujian dan balasan dari manusia.
Cara hafal Al-Quran, Bahagian 2: Akhlak
Akhlak ini ialah akhlak kita dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam proses kita menghafal dan mengulang Al-Quran.
Hormat guru
In yang paling penting, supaya mendapat barakah dari guru.
Saya buat perangai semasa di zaman sekolah dan universiti.
Pada saya, kalau dia guru, tugas dia ajar kita. Itu sahaja.
Kalau kita mahu belajar, kita belajar.
Kalau tidak tak nak belajar, ikut suka kita.
Bila berperangai begini, saya perasan yang hafazan saya tidak ke mana-mana. Mudah lupa. Susah mahu lekat.
Hormat sepenuh hati
Saya mula ikut rakan-rakan tahfiz sekelas aya. Mula cium tangan ustaz.
Mula-mula, rasa tak biasa. Weird.
Sepanjang saya belajar, tak pernah saya cium tangan guru.
Lama-lama, perasaan tunduk itu ada bila dipaksa. Nafsu bila dipaksa, ia akan ikut kata kita.
Saya rasa, bacaan saya semakin lancar selepas saya buang segala prasangka dan perasaan negatif terhadap guru.
Hormat kawan-kawan guru
Biasanya, kita akan terserempak guru kita dengan kawan-kawan dia. Kawan-kawan dia, mestilah orang-orang berilmu macam dia.
Ambil barakah dari mereka juga.
Hormat Al-Quran
Pastikan lebih berhati-hati dalam mengendalikan Al-Quran.
Jika ingin bawa Al-Quran yang tiada terjemahan dan letakkan dalam kereta, sentiasa berhati-hati bila ingin membelek seketika di persimpangan lampu isyarat.
Pastikan sentiasa ada wuduk bila mahu memegang dan membaca Al-Quran.
Hormat kawan-kawan tahfiz
Akan timbul satu perasaan dimana kita respect orang dan kawan-kawan kita yang hafal Al-Quran.
Jika tiada kawan yang hafal Al-Quran sekalipun, kita akan dapat rasa cahaya ketenangan pada wajah anak-anak tahfiz.
Jika berjumpa anak-anak tahfiz ini, hormati dan santuni mereka.
Jangan main telefon semasa proses hafalan ayat baru
Ini sebenarnya akan mengganggu proses hafalan.
Kebiasaannya, saya boleh hafal dalam 3 baris dalam satu hari. Itupun kena ulang beberapa hari untuk beri lekat dalam hati.
Jika bermain telefon; baca Whatsapp sambil menghafal, keadaan menjadi lebih teruk. Langsung tak dapat apa-apa.
Pada pendapat saya, jika mengulang bacaan sahaja (iaitu bukan untuk ayat baru), jeling sedikit mesej baru masuk tidak mengapa.
Cara hafal Al-Quran, Bahagian 3: Teknikal
Saya sengaja letakkan ini di bahagian terakhir. Sedangkan, inilah yang ada tunggu-tunggu bukan?
Kenapa saya letak bahagian teknikal sebagai bahagian yang terakhir?
Ini kerana menghafal Al-Quran itu sebenarnya tak susah. Serius!
Cubalah tanya mana-mana hafiz, semua akan bersetuju dengan pernyataan ini.
Habis apa yang susah?
Yang paling susah ialah bab mengulang.
Bila tidak mengulang, kita akan lupa.
Kesannya ialah kita terpaksa hafal semula surah tersebut macam orang baru mula menghafal.
Tragis.
Saya juga tidak menggunakan apa-apa kaedah seperti kaedah Jibril atau kaedah Stifin. Hanya baca, hafal dan ulang. Saya juga tiada kaedah yang sistematik seperti orang lain.
Itu sahaja.
Teruskan membaca perkongsian di bawah, untuk mengetahui cara hafal Al-Quran, dalam bahagian teknikal.
Pilih mushaf Al-Quran
Ini tersangat penting.
Jangan jadi macam saya yang sudah bertukar 4 mushaf Al-Quran. Jangan ulang kesilapan saya.
(1) Mushaf saya yang pertama
Saya gunakan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
Mushaf tebal yang ada terjemahan di sebelah kanan. Ayat-ayat Al-Quran ada di bahagian kiri.
Cara membacanya, dari kiri ke kanan.
Secara peribadi, kurang sesuai bagi saya kerana sukar untuk buat photographic memory. Saya akan jelaskan nanti, apa itu photographic memory.
Hanya guna dalam beberapa hari sahaja.
(2) Mushaf saya yang kedua
Saya gunakan Tafsir Al-Quran Per Kata.
Juga mushaf yang tebal. Dengan terjemahan di sebelah kanan muka surat, dan ayat-ayat Al-Quran di bahagian kanan yang lebih luas.
Tidak sama seperti Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, cara membacanya, dari kanan ke kiri iaitu seperti Al-Quran biasa.
Saya tukar atas alasan yang sama, sukar untuk buat photographic memory.
Jika tidak salah, hanya sempat guna dalam beberapa minggu sahaja.
(3) Mushaf saya yang ketiga
Saya gunakan Mushaf Madinah. Jika anda pernah ke Mekah dan Madinah, anda hanya akan jumpa Al-Quran jenis ini sahaja dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Al-Quran ini ialah yang standard, dan hanya jenis ini yang dibenarkan di letakkan di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Jika ada versi yang lain, orang-orang yang mencuci dan mengemaskan masjid akan keluarkan semula dari rak.
Saiz Al-Quran ini kecil dan nipis. Sesuai untuk dibawa ke mana-mana.
Tidak ada terjemahan dalam Bahasa Melayu.
Al-Quran kegemaran?
Saya sebenarnya sangat suka dengan Al-Quran ini.
Satu, sebab saya yang beli sendiri semasa menunaikan umrah suatu masa dulu.
Yang kedua, niat di hati, mungkin jika saya terpilih untuk mengerjakan umrah lagi dan haji suatu hari nanti, mudah untuk adaptasi. Mudah untuk saya baca dan khatam Al-Quran di Tanah Suci, kerana sudah biasa baca jenis ini.
Apa itu photographic memory?
Ingat lagi, saya ada cakap tentang photographic memory?
Photographic memory, atau memori fotografi ialah keupayaan untuk mengingati maklumat atau imej visual secara terperinci.
Juga dipanggil Eidetic memory, memori Eidetik adalah keupayaan untuk menarik balik imej dari memori dengan jelas selepas hanya beberapa contoh pendedahan, dengan ketepatan yang tinggi untuk masa yang singkat selepas pendedahan, tanpa menggunakan peranti mnemonik.
Kenapa photographic memori sangat penting?
Maksudnya di sini, Al-Quran Mushaf Madinah ini juga sangat mudah untuk saya buat pengecaman pangkal ayat dan hujung ayat dalam satu-satu muka surat.
Saya akan freeze sesuatu muka surat itu, dan saya akan ingat yang awal ayat dan akhir ayat.
Yang di tengah-tengah, akan terisi dengan sendiri dari memori, dan dituturkan oleh lidah dengan lancar, dengan izin Allah. Pada saya, ini adalah cara hafal Al-Quran yang berkesan.
Saya tidak boleh buat dengan mushaf pertama dan kedua. Ini kerana mushaf ini tebal, dan satu muka surat yang di dalamnya, mungkin hanya separuh saya dari Mushaf Madinah.
Berapa lama guna?
Inilah yang paling lama saya guna. Sehingga sekarang, masih berganti-ganti dengan mushaf satu lagi.
Kenapa tak guna?
Seperti yang saya kongsikan dalam bahagian akhlak dengan Al-Quran tadi, kadang-kadang saya teringin untuk memegang Al-Quran dalam kereta. Namun, saya bukan 24 jam dalam keadaan berwuduk. Kadang-kadang, terbuang angin secara tidak sengaja.
Dan lagi, kadang-kadang saya teringin juga memahami apa cerita tentang ayat yang saya hafal tadi. Dengan penguasaan Bahasa Arab yang lemah, maka saya tidak dapat memahami konteks sesuatu ayat yang saya baca.
Maka, saya gunakan mushaf yang seterusnya ini.
(3) Mushaf saya yang keempat
Saya gunakan Mushaf Al-Quran Per Kata Kaedah Berwarna.
Kenapa pilih ini?
Ini kerana ia menggabungkan kesemua elemen dalam mushaf pertama, kedua dan ketiga.
Di dalam mushaf ini, saya dapat baca Al-Quran, dapat baca terjemahan, dapat tahu tajwid dan masih lagi dapat mengaplikasikan photographic memory.
Susun aturnya lebih kurang sama dengan Mushaf Madinah.
Terjemahan per kata, dalam Bahasa Melayu, bukan Bahasa Indonesia. Walau bagaimanapun, ada juga sedikit termasuk Bahasa Indonesia. Namun, konteksnya masih dapat difahami.
Hati ini, kadang-kadang rasa ingin tahu apa maksud sesuatu ayat itu. Dengan adanya terjemahan per kata, saya bukan sahaja dapat tahu maksud satu ayat, tetapi dapat mengetahui maksud setiap kata.
Yang mana satu pilihan hati?
Ikut selera masing-masing.
Ikut selera saya, saya masih lagi menggabungkan mushaf ketiga dan keempat ini, bergilir-gilir.
Jika mengulang sahaja, saya akan menggunakan Mushaf Madinah. Jika membaca sahaja, saya juga akan gunakan Mushaf Madinah.
Untuk hafazan ayat-ayat baru, saya lebih selesa menggunakan akan menggunakan Mushaf Al-Quran Per Kata Kaedah Berwarna ini. Sedang menghafal, boleh jeling-jeling maksud ayat.
Jangan bertangguh
Niat itu ada, tapi masih lagi tak buat apa-apa.
Masa terbaik untuk menghafal Al-Quran ialah sekarang. Saat anda membaca tulisan ini, hati anda sebenarnya digerakkan oleh Allah untuk rapat ke arah kebaikan.
Cara hafal Quran terbaik, biar lambat, asal dapat
Perlahan-lahan. Itu lebih baik.
Mula-mula memang susah. Lama-lama akan jadi biasa.
Jangan putus asa
Bila sudah cuba, masih lagi tak dapat-dapat, jangan putus asa.
Bila putus asa sekali, bangkit semula. Bila putus asa lagi, mohon doa pada Allah agar dipermudahkan urusan kita dalam menghafal Al-Quran.
Perkara baik, yakinlah bahawa Allah akan berikan pertolongan.
Pastikan bacaan lancar dahulu
Jangan hafal selagi kita tak lancar ayat itu. Ini akan melambatkan proses menghafal.
Bila lidah sudah lembut, mudah untuk masuk ke dalam hati. Hafazan menjadi lebih cepat.
Cara hafal Quran, hafaz ayat pendek
Jangan degil. Tak perlu panjang-panjang.
Biar pendek, tapi lekat di hati.
Guru saya kata, mula-mula memang sudah lekat. Lama-lama, ia akan jadi darah daging. Baca pun sudah macam baca Al-Fatihah.
Tidak perlu banyak effort. Rasa macam mudah sangat.
Skip surah yang kita dah biasa
Surah yang kita sudah biasa, ini tak perlu ulang banyak kali. Hanya baca sesekali.
Fokus pada hafazan yang kita belum lagi lancar.
Ulang secara santai
Sambil ikat tali kasut boleh. Sambil basuh pinggan pun boleh.
Yang menjadi kegemaran ialah ialah memandu kereta jauh. Seperti saya kongsikan di atas tadi, jika ingatan kuat, boleh dapat satu juzuk untuk perjalanan lebih kurang 50km.
Untuk menghabiskan bacaan satu juzuk, secara purata, masa yang diambil ialah lebih kurang 40 minit.
Ulang banyak kali
Entah berapa ratus kali, atau mungkin juga beribu kali guru saya tekankan tentang perkara ini.
Ulang banyak kali.
Tidak ada jalan pintas. Cara hafal Al-Quran yang berkesan ialah pengulangan yang banyak.
Peruntukkan masa untuk hafal ayat-ayat baru
Kalau bukan kita yang menguruskan masa kita sendiri, siapa lagi?
Kalau saya, saya akan peruntukkan 30 minit untuk menghafal ayat-ayat baru. Ini memang kena betul-betul duduk diam.
Cuma kadang-kadang, terlepas juga main telefon sekejap.
Masa menghafal ayat-ayat baru ini sangat penting. Jangan main-main masa ini.
Tidak perlu masa khas untuk mengulang
Masa yang kita ada sangat terhad.
Untuk mengulang, tidak perlu masa khas. Bila-bila masa pun boleh, hatta semasa main bola sekalipun.
Jangan cemburu dengan kawan
Kita hafal dulu, dia yang sudah jauh ke hadapan.
Bertenang.
Mungkin Allah izinkan dia supaya dapat menghafal dengan cepat. Kita pula mungkin masih dibelenggu dengan dosa, yang menyebabkan kita lambat untuk dapat sesuatu ayat.
Tips hafal Quran, fahamkan konteks ayat itu
Bila kita faham, mudah untuk tangkap semula apa yang kita lupa. Maksudnya di sini, bukan keseluruhan ayat tersebut.
Namun, lebih kepada tema atau konteks ayat yang sedang dihafal atau dibuat pengulangan.
Ada beberapa ayat contohnya; yang bercerita tentang kisah Nabi Musa. Kita hayati cerita itu.
Sambil mengulang sambil kita menghayati cerita itu.
Apabila tiba-tiba terskip ayat yang sepatutnya menceritakan tentang sesuatu perkara, kita akan berhenti serta merta dan mencari balik apa yang tertinggal.
Tips hafal Quran, pecahkan ayat panjang
Cuba bahagi-bahagikan ayat mengikut apa yang kita rasa selesa. Jangan terlalu yakin untuk hafal satu ayat panjang sekaligus.
Cari persamaan ayat dalam surah lain
Kebanyakan ayat-ayat dalam Al-Quran, ia lebih kurang sama. Bila kita perasan yang surah lain pun mengandungi ayat yang sama, akan ada dua kemungkinan.
Yang pertama, kita akan keliru dan bacaan akan termasuk ke surah yang lain.
Yang kedua, kita akan lebih cepat tangkap dan hafal kerana sudah hafal ayat yang lebih kurang sama sebelum ini.
Cari pattern dalam muka surat itu
Sukar untuk saya jelaskan tentang pattern ini.
Pattern atau corak ialah satu keteraturan di dalam muka surat Al-Quran. Unsur-unsur pattern ini berulang-ulang, dan mudah untuk kita tangkap.
Contohnya begini. Dua ayat pertama mungin bermula dengan Qul. Dua ayat terakhir juga bermula dengan Qul. Maka mudah untuk kita ingat.
Contoh lain pula, mungkin kebanyakan ayat dalam muka surat itu berakhir dengan ‘Adzmin. Cepat-cepat tangkap corak itu dan simpan dalam memori.
Tips hafal Quran, minta doa dari guru
Bila berakhirnya kelas, selalunya guru akan berdoa untuk semua. Aminkan doa guru, mudah-mudahan kita juga mendapat keberkatan.
Doalah dengan bersungguh-sungguh.
Doa ibu-bapa juga penting
Yang masih punya ibu ayah, dapatkan restu mereka dan gembirakan hati-hati mereka.
Minta ibu ayah kita mendoakan agar kita lebih mudah menghafal Al-Quran.
Tips hafal Quran, mengulang dalam solat tahajjud
Ini sebenarnya pesanan untuk diri saya, kerana saya jarang-jarang sekali buat perkara ini.
Telinga saya lebih dekat dengan mulut saya sendiri, maka selayaknya saya kena ikut nasihat ini.
Jika berkesempatan, dirikanlah solat tahajjud dengan surah yang kita hafal. Dua rakaat tahajjud, boleh sahaja dihabiskan dengan satu juzuk.
Tidak dapat satu juzuk sekalipun, satu surah pendek pun sudah memadai.
Tips hafal Quran, selalu solat taubat
Sekali lagi, rasa malu pada diri sendiri yang banyak dosa dan maksiat.
Pokoknya di sini, apabila kita dilupakan oleh Allah dengan bacaan-bacaan yang sebelum ini cukup lancar, ialah kerana dosa-dosa kita.
Cara hafal Quran, dengan jaga mata
Menundukkan nafsu itu sangat sukar.
Kadang-kadang, kita yang bukanlah berjubah dan berserban, seakan-akan tidak boleh mengawal mata dan nafsu sendiri.
Alihkan mata bila melihat aurat orang lain.
Kita adalah jenis tahfiz part-time yang cukup terdedah dengan suasana luar. Tidak seperti jenis tahfiz full-time yang sentiasa ada dalam keadaan yang terkawal dari maksiat.
Cara hafal Quran, cari kawan hafiz juga
Jika tidak silap saya, pernah terdengar di mana sesiapa yang bersahabat dengan kasih sayang, dan berpisah di dunia ini kerana Allah, dia akan mendapat perlindungan di Padang Mahsyar nanti.
Untuk orang seperti kita yang mungkin tidaklah baik mana, memang sukar untuk mendapat kawan yang sudi.
Salah satu sebab ialah environment kita bukanlah environment yang cintakan Al-Quran. Selain kesibukan masa, pencarian kawan-kawan yang baik sebegini kadang-kadang terhenti. Tidak tahu apa jadi.
Jika anda sudi, saya pun sudi. Mari kita sama-sama bersahabat dan berkasih sayang kerana Allah.
Boleh ikuti Facebook page Tahfiz Part Time , group Telegram dan channel Telegram di https://t.me/tahfizparttime
Cara hafal Quran, mengulang dengan kawan tahfiz
Kenapa dengan kawan tahfiz? Ini kerana dia juga dalam proses untuk menghafal, sama macam kita.
Kalau dengan kawan-kawan yang bukan belajar bersama kita, atau bukan dalam proses menghafal, bimbang-bimbang akan wujud rasa riak dalam diri kita.
Seperkara lagi, bimbang-bimbang kawan itu tidak tahan untuk bersama kita 40 minit, sekadar mahu menyemak bacaan kita.
Di sini, sudah nampak, orang yang hafal Al-Quran ini, akan sudi dan sentiasa meminjamkan telinganya untuk kita.
Tips hafal Quran, semak bacaan rakan tahfiz yang lain
Antara kebaikan dan keistimewaan lain apabila mengulang bersama kawan, kita akan tahu di mana kesalahan kita dalam bacaan.
Kadang-kadang, kita tidak sedar selama ini kita baca salah.
Apabila kita menyemak bacaan orang lain, baru kita tahu kita salah. Cara hafal Al-Quran dengan tasmik begini, kebiasannya lebih berkesan.
Soalan lazim
Saya sudah tua, boleh ke?
Mahu tidak mahu sahaja. Umur bukanlah satu penghalang. Dengan izin Allah, segalanya tidak mustahil.
Dalam kelas saya ada juga nenek-nenek yang sudah berumur. Gigih mereka hafal Surah Ar-Rahman dan Al-Waqiah.
Saya bekerja, macam mana mahu cari masa?
Terpulang bagaimana anda mahu menguruskan masa.
Bagi saya 30 minit itu sudah cukup. Saya bukan hafal hari-hari.
Dalam seminggu, kelas saya cuma 4 hari sahaja. Itu pun saya banyak ponteng kerana ada banyak urusan lain.
Cuma saya akan pastikan, saya fokus untuk hafal ayat baru dalam kelas selama 30 minit. Paling lama pun 1 jam.
Selebihnya, mengulang. Mengulang, tidak perlu dalam kelas.
Saya belajar lagi, boleh ke?
Kalaulah boleh diputarkan masa, saya mahu sangat-sangat menghafal pada usia muda.
Sesiapa yang ada keinginan untuk meghafal pada usia muda remaja, semoga Allah curahkan segala rahmat dan kebaikan pada dia.
Pada saat umur masih muda dan nafsu membuak-buak, dan dia ingin dekat dengan Al-Quran, memang anda orang yang terpilih.
Hafal berapa juzuk?
Saya hafal 30 juzuk ke?
Tidak. Saya tidak hafal 30 juzuk.
Cuma 2 juzuk sahaja, iaitu juzuk 27 dan 28.
Saya sendiri tidak sangka boleh hafal Al-Quran sebanyak 2 juzuk dalam masa 5 tahun.
Ya, tak ada apa yang perlu dibanggakan dengan 5 tahun. Orang lain boleh buat dalam masa 1 tahun sahaja.
Ada yang lebih hebat, kurang dari setahun.
Pada saat ini, mungkin anda tidak impress dengan apa yang saya kongsikan.
Cuma 2 juzuk?
Tidak mengapa.
Saya menulis bukan untuk impress sesiapa.
Saya tahu, ramai di luar sana mahu jadi baik. Ramai di luar sana yang bercita-cita untuk menghafal Al-Quran.
Izinkan saya terus berkongsi. Sekadar untuk memberi inspirasi.
Kenapa ambil masa lama?
Ini kerana saya hafal secara part-time sahaja. Bukanlah yang duduk di pusat tahfiz seharian.
Saya ada kerja di pejabat yang perlu di selesaikan. Saya ada keluarga untuk diurus. Saya juga ada mesyuarat yang perlu dihadiri.
Bagaimana semuanya bermula?
Saya pergi solat Jumaat di sebuah masjid di Shah Alam. Kebetulan ada pengumuman sebelum khutbah.
Masjid tersebut membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin hafal Al-Quran secara part-time. Boleh datang ke pejabat dan daftar.
Mudah.
Minggu-minggu mendatang, setiap hari Jumaat, saya terdengar lagi pengumuman yang sama. Kalau tidak silap 4-5 kali juga.
Terdetik dalam hati: “Apa salahnya mencuba!”
Maka, Allah mengubah perjalanan hidup saya.
Apa perubahan yang berlaku?
Saya tak tahu samada ini berlaku secara kebetulan atau tidak.
Untuk pengetahuan, saya masih lagi hamba Allah yang banyak dosa. Banyak melakukan maksiat.
Cuma saya mahu jadi baik. Saya berusaha jadi baik. Tolong doakan agar saya dapat jadi baik.
Dulu saya jarang solat berjemaah.
Sekarang rasa bersalah jika tak pergi solat berjemaah. Lebih-lebih lagi solat berjemaah Isyak dan Subuh.
Ada kalanya, saya tidak pergi juga. Doakan agar saya terus istiqamah.
Akhir kalam
Tak perlu rushing sangat untuk hafal 30 juzuk. Kita buat relaks-relaks. Cara hafal Quran sudah ada. Cuma praktikkan sahaja. Janji, dapat.
Jika kena cara hafal Al-Quran yang betul, dengan izin Allah, semuanya jadi mudah.
Tidak hafal pun tak apa. Baca pun sudah dapat pahala. Bila sudah khatam, boleh doa khatam Quran.
Semoga bermanfaat.
assalamualaikum, saya pelajar lepasan spm 2019. saya dah lama nak hafaz al-Quran, tapi saya rasa tak mampu..? ada org pernah beritahu saya, kalau nak hafaz al-Quran, tapi mata/telinga/hati tu asyik dengan hiburan, takkan dapat hafaz juga. saya tahu tu, dan saya nak sangat berubah. saya tahu hiburan – jgn kecam tapi saya minat kpop 🙁 – takkan bagi apa-apa manfaat pada saya in the long run, dan saya tahu al-Quran sajalah yang saya ada. tapi saya tak tahu kenapa susah sangat nak berkorban, nak berubah. boleh minta nasihat? 🙁
Terima kasih atas ilmu yg dikongsi..saya doakan semoga kita semua menjadi insan yg dapat menghafal ayat ayat Al Quran…?
Alhamdulillah.. 👍🏻👍🏻👍🏻
Terima kasih atas perkongsian ini. Sangat menjadi inspirasi saya untuk terus menghafal. Saya juga dalam journey untuk hafal quran part time. Saya berumur 42,Sambil besarkan anak 7 orang. Buat bisnes kecilan tapi saya dah rasa semua manisnya hafal quran yang tuan tuliskan. Secara spontan memang saya gunakan semua kaedah yang tuan tulis. Alhamdulillah,sikit lagi saya nak habiskan juz 30 dan saya dah hafal almulk juga alwaqiah.
Tak tahu mcmmana nak kata bahawa teringinnya nak ajak ramai lagi orang hafal quran terutama anak muda. Alhamdulillah. Tahniah tuan untuk penulisan ini.
Alhamdulillah,saya dah hafal 30 juz,skrang nak buat syahadah,doakan saya,insyaallah
alhamdulillah. terharu saya bila membaca kisah ini. Tahniah kepada tuan2/puan2 semua yang terpilih menjadi para penghafaz. saya juga teruja untuk menghafal 2 tahun lepas, teruja sangat selepas membaca sebuah buku tentang keistimewaan para tahfiz. saya akan menghafaz setiap hari bila masa terluang. dapat saya menghafal al-mulk, 10 ayat awal akhir alkahfi dan juz 30. saya seorang surirumah. namun menjelang musim covid 2020, saya mula fokus kepada bisnes online saya dan yang lekat almulk saja itu yang akan dibaca setiap malam. Beberapa bulan ini, saya perasan, walaupun membaca quran saya perlu juga teruskan menghafal seperti dulu sementara ingatan masih ada dan kesihatan masih mengizinkan. Sedih dihati kerana meninggalkannya. Sedangkan apabila ada keinginan , masa akan terluang dengan mudahnya. Semuga sesiapa yang membaca ini, kita diberi peluang untuk istiqamah menghafal quran dan diberi kejayaan dunia akhirat . Amiin
alhamdulillah.. appreciate it too 😃☺️😊
thanks for your time and kindness and hopefully you had a good day shall be to in Shaa Allah subhanahu wata’ala 😉。
To hold our tongues when everyone is gossiping, to smile without hostility at people and institutions, to compensate for the shortage of love in the world with more love in small, private matters; to be more faithful in our work, to show greater patience, to forgo the cheap revenge obtainable from mockery and criticism: all these are things we can do.
— Hermann Hesse
。
Alhamdulillah, terharu saya terbaca kisah ni. Saya pelajar baru MRSM Bagan Datuk. Walaupun saya sepatutnya dapat hafal Al-Quran sehingga mukasurat 15, tetapi saya hanya dapat kurang daripada itu kerana leka. Saya ni jenis yg.. susah untuk mengikuti jadual yang telah ditetapkan. Saya tak tahu kenapa, tapi alhamdulillah kerana Allah telah memberi kesempatan untuk saya membaca kisah ini walaupun saya perlu membuat kerja lain😅. InshaAllah saya akan cuba untuk membuat rutin harian untuk menghafaz dan cuba untuk mengikut apa yang telah dijadualkan. Terima kasih juga kerana telah berkongsi kisah ini dengan semua orang yang membaca, semoga saya diberi peluang untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran dalam masa terdekat ini. Amin.. dan juga semoga yg menulis kisah ini diberikan rezeki dan kejayaan di dunia dan akhirat. Saya mengucapkan terima kasih sekali lagi, saya memohon maaf kesalahan bm saya yang tak berapa baik😅 tapi saya lega kerana dapat luahkan apa yang saya telah baca tadi.